Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Haji Hassan Basri mengumumkan pihaknya akan melaksanakan lencongan jalan secara berperingkat di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur pada 7 hingga 11 Julai 2025. Ia adalah sempena penganjuran Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58.
“Aktiviti raptai (Dry Run) pergerakan motoked melibatkan laluan daripada lapangan terbang hingga ke hotel-hotel penginapan di sekitar KL dan ke Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sedang berlangsung hingga 6 Julai (Ahad ini). Ia melibatkan kekuatan seramai 391 petugas trafik yang terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis,”kata Mohd Yusri menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Lencongan jalan secara berperingkat ini akan melibatkan tiga lebuhraya dan 15 jalan utama di sekitar Lembah Klang. Menurut Mohd Yusri, pada 7 Julai, lencongan jalan berperingkat akan bermula dari jam 7 pagi dan laluan yang terlibat adalah Lebuh KLIA, Lebuhraya ELITE (KLIA – Putrajaya), Lebuhraya MEX, Lebuhraya KL-Seremban (Sg Besi – Pusat Bandar), Lingkaran Putrajaya, Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Imbi.
Manakala pada 8 hingga 11 Julai pula, lencongan jalan berperingkat akan dilaksanakan antara jam 7 pagi, 10 pagi, 5 petang, 7 malam dan 10 malam. Ia melibatkan Persimpangan Jalan Ampang/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Sultan Ismail/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Perak/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Perak/Jalan Pinang, Persimpangan Jalan Stonor/Jalan Kia Peng dan Persimpangan Jalan Stonor/Persiaran KLCC.
“Kenderaan perdagangan dan kenderaan berat adalah disarankan tidak memasuki pusat bandar KL sepanjang tempoh lencongan jalan terutamanya semasa waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko kerosakan kenderaan dan kemalangan jalan raya.
“Kerjasama orang ramai yang cakna dengan arahan semasa para petugas di lapangan amatlah dihargai selain menaikkan imej negara sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan berdisiplin,” kata Mohd Yusri lagi.
Untuk itu, sila rancang perjalanan anda sewajarnya sepanjang tempoh yang dinyatakan ini dan anda juga digalakkan mengunakan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan rel seperti LRT, MRT dan Monorel.
The post Lencongan jalan berperingkat di Kuala Lumpur pada 7-11 Julai 2025 sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN appeared first on Paul Tan’s Automotive News.