Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) memaklumkan bahawa satu penutupan penuh sementara di Lebuhraya LEKAS (E21) akan dilaksanakan pada 11 Oktober (Sabtu ini) dari jam 5 petang hingga jam 4 pagi pada 12 Oktober (Ahad). Penutupan ini bagi memberi laluan kepada acara perlumbaan berbasikal malam tahunan RHB Lekas Highway Ride 2025 edisi ke-10 anjuran syarikat konsesi lebuhraya terbabit.

Ketua Polis Selangor, CP Datuk Shazeli Kahar berkata bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan peserta dan pengguna jalan raya, penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor pada tempoh masa yang ditetapkan itu. Penutupan ini meliputi jajaran dari Persimpangan Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi.

Laluan yang terlibat dengan penutupan sepenuhnya ialah Plaza Tol Kajang Selatan, Pajam Nilai, Mantin Lenggeng, Plaza Tol Setul, Temiang Seremban, Plaza Tol Ampangan, Jelebu Seremban, pusingan U di KM39, pusingan U di KM11.3, pusingan U di KM8.8, susur Plaza Tol Semenyih, dan pusingan U di Plaza Tol Pajam.

Lebuhraya Lekas ditutup pada 11-12 Okt sempena acara berbasikal RHB Lekas Highway Ride 2025

Peta laluan RHB Lekas Highway Ride 2025 – Klik untuk besarkan

“Orang ramai khususnya pengguna lebuhraya dinasihatkan agar elak menggunakan laluan yang terlibat sepanjang tempoh penutupan tersebut serta rancanglah perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan. Sila bagi kerjasama dan patuhi arahan anggota polis di lapangan,” kata Shazeli.

Ketua Pegawai Eksekutif Lekas, Ts. Hajah Wan Salwani Wan Yusoff pula berkata, “Lekas telah memperoleh semua kelulusan yang diperlukan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk bertindak sebagai penaja tempat, serta mendapat pengiktirafan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pelan pengurusan trafik yang melibatkan penutupan penuh lebuh raya. Kelulusan turut diterima daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk penganjuran acara berbasikal ini.”

Bagi acara kali ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu berbasikal sejauh 105km, 78km, 17km dan 12km yang menyaksikan penyertaan seramai 6,017 orang peserta dari 23 negara.

The post Lebuhraya Lekas ditutup pada 11-12 Okt sempena acara berbasikal RHB Lekas Highway Ride 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts