Setelah hampir dua bulan pelaksanaan tol percuma di Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) jajaran Seksyen 1 yang dibuka secara rasmi pada 30 Ogos lalu, kini tiba masanya pengguna lebuhraya terbabit membayar kadar tol seperti yang ditetapkan.
Pengendali lebuhraya terbabit, EKVE Sdn Bhd memaklumkan bahawa kutipan tol bagi Seksyen 1 Lebuhraya EKVE akan bermula jam 12.01 tengah malam pada Sabtu ini, 25 Oktober 2025.
Kadar tol mengikut kelas kenderaan yang dikenakan ke atas pengguna lebuhraya ini adalah seperti berikut:
Menurut syarikat konsesi itu lagi, kaedah pembayaran kutipan tol di Seksyen 1 Lebuhraya EKVE akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, Smart Tag dan Radio Frequency Identification (RFID).
“Pengguna dinasihatkan untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch ‘N Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa melalui plaza tol.
“Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui ke semua plaza tol ini bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi yang dituju,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Seksyen 1 ini merupakan lebuhraya dua lorong dua hala yang merangkumi jarak sepanjang 16.8 km melibatkan jajaran utama dan 8.4 km untuk jalan susur bagi empat buah persimpangan bertingkat iaitu Persimpangan Bertingkat Sungai Long, Persimpangan Bertingkat Bandar Mahkota Cheras, Persimpangan Bertingkat Hulu Langat, dan Persimpangan Bertingkat Ampang.
Ia juga mempunyai empat buah plaza tol yang dilengkapi dengan RFID dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) selaras dengan cadangan perlaksanaan Multi-Lane Fast Flow (MLFF) di semua lebuhraya Malaysia kelak.
Sementara itu, Seksyen 2 yang akan menghubungkan laluan ini terus ke Ukay Perdana kini masih dalam pembinaan, dan apabila dibuka kelak akan melengkapkan keseluruhan jajaran EKVE sepanjang 39 kilometer yang dirancang dalam pelan pembangunan asal.
The post Lebuhraya EKVE jajaran Seksyen 1 bakal laksana kutipan tol mulai 12.01 tengah malam pada 25 Okt 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















