Penguatkuasaan sepenuhnya untuk Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan warga Singapura yang memasuki Malaysia adalah bermula hari ini. Namun difahamkan sebanyak 42,416 kenderaan persendirian individu (17% daripada 248,504 tag VEP yang telah dikeluarkan) masih belum mengaktifkan tag RFID VEP setakat 29 Jun, laporan Bernama.
“Sebanyak 206,088 atau 83% tag bagi kenderaan persendirian individu telah diaktifkan, manakala semua (3,765) tag bagi kenderaan persendirian syarikat telah diaktifkan sepenuhnya. Jumlah keseluruhan permohonan (pra-pendaftaran) bagi kenderaan persendirian syarikat setakat 29 Jun adalah sebanyak 19,690,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Kenderaan dari Singapura yang tidak mengaktifkan VEP akan dikenakan kompaun serta-merta sebanyak RM300 selaras dengan Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak akan dibenarkan keluar dari Malaysia sehingga kompaun dibayar dan VEP diaktifkan.
“Seramai 55 anggota JPJ telah ditugaskan dalam operasi tersebut (untuk hari pertama pelaksanaannya), dengan penguatkuasaan tertumpu kepada kenderaan asing yang masih belum berdaftar dengan VEP. Buat masa ini, saman-saman lain seperti saman JPJ atau polis yang tertunggak masih dikecualikan. JPJ juga telah menyediakan unit bergerak di lokasi penguatkuasaan bagi memudahkan pemilik kenderaan menyelesaikan kompaun serta mengaktifkan tag mereka dengan segera.
“Buat masa ini, penguatkuasaan dijalankan secara berkala di lokasi-lokasi strategik yang menjadi tumpuan kenderaan asing di Johor, namun akan diperluaskan ke negeri-negeri lain pada masa akan datang. Kita mengalu-alukan kehadiran rakyat Singapura ke negara ini. Secara amnya, mereka mematuhi peraturan, namun masih ada segelintir yang belum mendaftar dan mengaktifkan VEP,” kata Aedy.
Beliau turut berkata, pusat VEP di Danga Bay dibuka 24 jam bagi kemudahan pemandu dari Singapura.
The post Lebih 42k kenderaan Singapura belum aktifkan VEP appeared first on Paul Tan’s Automotive News.