Seramai 10,600 pemohon atau 87.2% daripada jumlah pemohonan yang disasarkan di bawah Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) berjaya membeli motosikal elektrik dengan rebat setakat 8 Okt lalu, laporan Bernama.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, rebat pembelian motosikal elektrik sebanyak RM2,400 seorang yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 melibatkan peruntukan berjumlah RM26.10 juta dan dilanjutkan pelaksanaannya hingga 2025. Ia disasarkan kepada warganegara Malaysia berpendapatan tahunan bawah RM120,000, termasuk pelajar dan pesara yang memiliki lesen motosikal sah (B, B1 atau B2).
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH–Labis) yang meminta penjelasan mengenai jumlah subsidi yang sudah disalurkan oleh kerajaan mengikut tahun dan model kenderaan elektrik serta isu pemohon berdaftar MARiiCas yang gagal menuntut subsidi walaupun pendaftaran dan kod QR masih sah.
Tambah beliau, peningkatan sambutan terhadap skim itu amat memberangsangkan dan cadangan untuk melanjutkan pelaksanaannya di bawah Belanjawan 2026 kini sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan.
“Bagi tahun 2024, sebanyak 19 model motosikal elektrik sudah ditawarkan kepada 3,582 pemohon berjaya, manakala bagi tahun 2025 (sehingga 1 Sept), sebanyak 28 model ditawarkan kepada 7,018 pemohon, menunjukkan peningkatan hampir 100%.
“Mengenai pemohon yang gagal menuntut rebat walaupun berdaftar dan mempunyai kod QR sah, perkara itu berlaku kerana individu berkenaan tidak memenuhi syarat kelayakan, termasuk had pendapatan tahunan dan pemilikan lesen motosikal yang sah,” katanya.
The post Lebih 10 ribu rakyat Malaysia terima manfaat rebat pembelian motosikal elektrik setakat 8 Okt lalu – MITI appeared first on Paul Tan’s Automotive News.