Setelah mula diuar-uarkan ketibaannya awal minggu ini, kini barisan Leapmotor C10 2026 telah pun ada varian baharu dan telah dilancarkan di Malaysia. Varian baharu ini dipanggil C10 Plus yang menerima naik taraf mekanikal menyeluruh seperti yang diperkenalkan di China tahun lalu, namun dengan peningkatan harga yang ketara.
Harganya kini mencecah RM148,000, naik RM23,000 berbanding model semasa. Insentif cukai EV bagi versi CBU yang yang telah tamat tahun lalu nampaknya turut mendorong kenaikan harga ini. Stellantis Malaysia sebelum ini pernah berkata pihaknya akan memulakan pemasangan tempatan bagi versi CKD hujung tahun lalu, namun ia tidak disebut di dalam kenyataan media yang dikeluarkan ini.
Selain itu, terdapat rebat sebanyak RM9,000 yang menjadikan harganya turun kepada RM139,000, sekali gus mengurangkan perbezaan berbanding varian sedia ada kepada RM14,000. Terdapat juga subsidi insurans sebanyak RM4,000 untuk pembeli terawal, yang menjadikan jumlah penjimatan keseluruhan yang dituntut sebanyak RM13,000. Perlindungan waranti kekal selama enam-tahun atau 150,000 km, dengan tambahan waranti bateri selama lapan-tahun atau 160,000 km.

Walau apa pun, kenaikan harga tersebut hadir bersama beberapa kelebihan besar, terutamanya dari segi jarak perjalanan. Kapasiti bateri LFP telah meningkat daripada 69.9 kWh kepada 81.9 kWh, dan digabungkan dengan kecekapan tenaga yang dipertingkatkan kepada 15.1 kWh bagi setiap 100 km, ini membolehkan C10 bergerak sehingga 86 km lebih jauh dengan sekali cas, dengan jarak yang dinilai WLTP mencecah 510 km.
Masa pengecasan bateri itu kini juga lebih singkat – hasil peralihan kepada seni bina 800 volt, kuasa pengecasan pantas DC yang disokong meningkat daripada hanya 84 kW kepada 180 kW yang jauh lebih baik. Oleh itu, walaupun baterinya lebih besar, pengecasan dari 30 hingga 80% kini hanya mengambil masa 22 minit, iaitu lapan minit lebih pantas berbanding sebelum ini. Walaupun pengecasan AC tidak dinyatakan, ia dijangka kekal pada 11 kW seperti sebelum ini, sebagaimana yang telah dikemas kini tahun lalu.
Bagi C10 Plus ini, ia juga diberikan peningkatan dari segi prestasi. Walau masih mengekalkan satu motor belakang, namun kini ia menghasilkan 299 PS (220 kW) dan 360 Nm tork, iaitu peningkatan sebanyak 81 PS (60 kW) dan 40 Nm berbanding varian asas. Ini memendekkan masa pecutan 0-100 km/j hampir satu setengah saat, yang kini hanya mengambil masa 6.2 saat. Kelajuan maksimum juga meningkat sebanyak 20 km/j kepada 190 km/j.
Walau bagaimana pun, tiada perubahan yang dinyatakan pada reka bentuk atau senarai kelengkapan. Selain itu, dalam masa yang sama, turut diperkenalkan edisi terhad Night Edition baharu yang hanya ditawarkan untuk 50 unit sahaja, dengan kos tambahan RM8,000, menjadikan harganya RM156,000, atau RM147,000 dengan rebat yang disebutkan tadi. Edisi ini menampilkan kemasan cat dua tona dengan bumbung hitam, serta kit badan yang merangkumi spoiler hadapan yang menonjol, skirt sisi yang lebih dalam dan diffuser belakang yang lebih agresif. Rim aloi standard 20-inci “Trident” juga diberikan kemasan hitam matte.
GALLERY: Leapmotor C10 Plus Night Edition 2026
GALERI: Leapmotor C10 2025 di Malaysia
The post Leapmotor C10 Plus di Malaysia – 299 PS, 510 km WLTP, DC 180 kW, Night Edition baharu, dari RM139k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.











































































































