Model SUV elektrik sepenuhnya, Leapmotor C10, yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2024 bakal menerima satu lagi kemas kini dalam masa terdekat. Perkara ini dibaca melalui teaser oleh Leapmotor Malaysia di saluran media sosial rasminya, yang menjanjikan “lebih kuasa” dan “lebih jarak”.
Sebelum ini, C10 pernah diberi kemas kini, pada tahun lalu, namun perubahannya agak kecil. Ia melibatkan pertukaran pengecas AC binaan dalam daripada 6.6 kW kepada unit 11 kW, selain penambahan beberapa kelengkapan baru seperti sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) jenis terus, kit pam tayar bermotor serta penutup ruang kargo belakang.
Untuk kemas kini terbaru, perubahan yang dibawa dijangka lebih signifikan, khususnya daripada sudut mekanikal. Versi yang bakal diperkenalkan di Malaysia berkemungkinan besar akan menerima naik taraf sama seperti model yang telah dikemas kini di pasaran China tahun lalu.
Di China, kemas kini tersebut menyaksikan peningkatan kuasa kepada 299 PS (220 kW), iaitu tambahan 68 PS berbanding 231 PS sebelum ini. Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada versi Malaysia akan menerima angka yang betul-betul sama, memandangkan model sedia ada di sini menawarkan kuasa 218 PS (160 kW).
Sekiranya peningkatan itu diterapkan, pecutan 0-100 km/j dijangka bertambah baik kepada sekitar 5.9 saat, berbanding 7.5 saat bagi model semasa. Janji “lebih jarak” pula hadir menerusi penggunaan bateri berkapasiti lebih besar. Pek bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) kini berkapasiti 74.9 kWh, meningkat daripada 69.9 kWh sebelum ini.
Hasilnya, jarak pemanduan turut bertambah, dengan model baru mencatat jarak sehingga 605 km mengikut kitaran CLTC, atau sekitar 495 km berdasarkan standard WLTP. Ini merupakan peningkatan kira-kira 70 km berbanding jarak 424 km WLTP yang ditawarkan oleh C10 sedia ada di Malaysia.
Selain itu, model kemas kini di China turut beralih daripada seni bina elektrik 400V kepada 800V, yang lazimnya membolehkan pengecasan lebih pantas dan cekap. Jika tiada perubahan pada perancangan, ciri ini juga dijangka diperkenalkan untuk pasaran tempatan.
Dari segi penampilan luaran dan dalaman, tiada rombakan besar dijangka dilakukan. Antara perubahan kecil yang disebut termasuk pilihan warna ungu baru, pemegang pintu berkuasa elektrik serta pad pengecas tanpa wayar 50W yang lebih berkuasa. Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai harga baru, namun pada Jun tahun lalu, harga C10 telah disemak semula kepada RM125,000 daripada RM159,000.
Satu lagi persoalan yang timbul adalah sama ada model kemas kini ini akan dipasang secara tempatan. Sebelum ini, pihak syarikat ada memaklumkan bahawa C10 akan dipasang secara CKD di fasiliti milik Stellantis di Gurun, Kedah, dengan operasi pemasangan dirancang bermula hujung tahun lalu. Jika perancangan itu berjalan lancar, adalah logik untuk menjangkakan versi 2026 ini akan hadir sebagai model pemasangan tempatan. Perkembangan lanjut dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
The post Leapmotor C10 – kemas kini untuk pasaran Malaysia akan tiba, SUV EV dapat lebih kuasa dan jarak gerak? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















