SUV elektrik Leapmotor B10 yang dilancarkan di Malaysia pada Disember 2025 kini menerima kemas kini perisian over-the-air (OTA) pertamanya. Walaupun baru beberapa bulan berada di pasaran tempatan, kemas kini ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang pengeluar untuk meningkatkan pengalaman penggunaan kenderaan secara berterusan tanpa memerlukan pemilik datang ke pusat servis.
Menurut Leapmotor, kemas kini OTA ini menambah beberapa ciri baru yang menjadikan penggunaan kenderaan lebih intuitif dan mesra pengguna. Antara fungsi utama yang diperkenalkan ialah mod pemanduan satu pedal, sokongan penuh untuk Apple CarPlay dan Android Auto, peningkatan pada fungsi arahan suara, serta beberapa penambahbaikan pada paparan sistem infotainmen.
Mod pemanduan satu pedal membolehkan pemandu mengawal pecutan dan nyahpecutan menggunakan pedal minyak sahaja dalam kebanyakan situasi. Apabila pedal dilepaskan, kenderaan akan memperlahankan kelajuan secara automatik melalui sistem regeneratif yang kuat, sekaligus mengurangkan keperluan menekan pedal brek. Sementara itu, integrasi Apple CarPlay dan Android Auto kini boleh digunakan sama ada melalui sambungan berwayar atau tanpa wayar.
Kemas kini ini turut membawa perubahan pada paparan sistem bagi meningkatkan kemudahan akses. Pemandu kini boleh menyesuaikan fungsi butang pada stereng melalui tetapan pelbagai fungsi baru, termasuk pintasan untuk ciri sistem bantuan pemandu (ADAS) dan mod pemanduan. Selain itu, paparan navigasi kini boleh dipaparkan melalui susun atur skrin berasingan di sebelah kiri, membolehkan pemandu melihat peta sambil menggunakan aplikasi lain pada masa yang sama.
Sistem infotainmen juga diberitahu dapat dihidupkan dengan lebih pantas hasil fungsi “Quick Start” yang memuatkan sistem lebih awal, sekaligus mengurangkan masa menunggu apabila kenderaan dihidupkan. Di samping itu, fungsi peringatan pengesanan kehadiran dalam kenderaan telah dioptimumkan, manakala penambahbaikan pada sistem Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lane Centering Control (LCC) membolehkan kenderaan memperlahankan kelajuan dengan lebih lancar ketika menghampiri selekoh.
Kemas kini OTA pertama bagi tahun 2026 ini mula dilaksanakan secara berperingkat sejak awal Februari. Pemilik Leapmotor B10 akan menerima pemberitahuan terus pada skrin kenderaan apabila kemas kini tersebut tersedia untuk dimuat turun dan dipasang.
Di Malaysia, Stellantis menawarkan dua varian Leapmotor B10 iaitu Life dan Design. Varian Life dijual pada harga RM107,800 manakala varian Design berharga RM118,800. Ketika pelancaran, syarikat turut menawarkan harga pengenalan untuk 200 unit pertama yang menurunkan harga atas jalan tanpa insurans kepada RM99,800 bagi Life dan RM109,800 untuk Design.
Kedua-dua varian menggunakan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang dengan kuasa 218 PS (160 kW) dan tork 240 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa sekitar 8.0 saat. Perbezaan utama antara kedua-dua model terletak pada kapasiti bateri. Varian Life menggunakan bateri 56.2 kWh dengan jarak pemanduan sehingga 361 km mengikut kitaran WLTP, manakala varian Design dilengkapi bateri lebih besar berkapasiti 67.1 kWh yang menawarkan jarak sehingga 434 km.
Dari segi pengecasan, kedua-dua varian menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW. Untuk pengecasan pantas DC pula, varian Life menyokong sehingga 140 kW manakala varian Design mampu menerima kuasa pengecasan maksimum sehingga 168 kW. Penawaran ini menjadikan Leapmotor B10 antara SUV elektrik yang kompetitif dalam segmen harga pertengahan di pasaran Malaysia.
Leapmotor B10 Design
The post Leapmotor B10 dapat kemas kini perisian secara OTA appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























































































































































