Selepas sekian lama dummy seatbelt buckle berada di pasaran secara terbuka, kini peranti keselamatan palsu tersebut akan dilarang dimport masuk ke Malaysia mulai 31 Disember 2025.
Berita Harian melaporkan larangan itu dinyatakan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 2) 2025, menetapkan larangan mutlak ke atas pengimportan aksesori itu ke negara ini yang diumumkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan dan ia terpakai bagi semua negara asal tanpa pengecualian.
Larangan pengimportan itu termasuk dummy buckle, penyah aktif penggera tali pinggang keledar, pemanjang klip tali pinggang keledar atau sebarang aksesori dan peranti lain serupa untuk dimasukkan ke dalam slot tali pinggang keledar. Semua aksesori berkenaan bertujuan menyah aktif atau memintas peringatan keselamatan dan menyebabkan mekanisme tali pinggang keledar tidak berfungsi.
Pada Februari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan kementeriannnya akan meminta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengharamkan penjualan dummy buckle dalam pasaran kerana pihaknya tiada kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian.
Ketika menjalankan Operasi Khas Tahun Baru Cina (TBC) tahun ini di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati sekitar 30% dari 195 pesalah yang diberikan notis kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar telah menggunakan dummy buckle bagi memadamkan bunyi penggera berkenaan, dan jumlah tersebut agak membimbangkan.
The post Larangan import <em>dummy seatbelt buckle</em> mulai 31 Dis appeared first on Paul Tan’s Automotive News.