Statistik menunjukkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya di Malaysia setiap tahun, iaitu hampir 70% daripada keseluruhan kes. Malah motosikal bersaiz kecil atau kapcai juga merupakan kenderaan paling berbahaya di negara ini, laporan The Star.
Menurut Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR), motosikal dengan enjin berkapasiti kecil, khususnya yang di bawah 150cc, sering membawa maut kerana strukturnya yang ringan dan tidak menawarkan sebarang perlindungan ketika berlaku kemalangan.
“Keadaan ini menyebabkan penunggang dan pembonceng sangat terdedah kepada kecederaan serius atau kematian,” kata Datuk Suret Singh, yang merupakan ahli jawatankuasa eksekutif MKJR.

.
Beliau berkata statistik menunjukkan bahawa 34% kematian melibatkan motosikal berenjin kecil berlaku di jalan persekutuan, manakala 32% di jalan negeri, 22% di jalan perbandaran dan 12% di lebuhraya.
“Memandangkan antara 85% hingga 90% daripada hampir 16.8 juta motosikal berdaftar di negara ini adalah kapcai atau motosikal berkapasiti kecil dan kebanyakannya mampu mencapai kelajuan melebihi 110 km/j, namun peratusan tersebut dijangka sukar untuk diturunkan,” katanya yang turut menggesa langkah lebih tegas dilaksanakan bagi mengelakkan lebih banyak tragedi.
Tambah beliau, “Intervensi keselamatan jalan raya yang lebih tertumpu kepada kenderaan komersil dan penumpang tidak seharusnya terus mengabaikan isu utama. Memandangkan penunggang motosikal berkapasiti kecil menyumbang 70% daripada jumlah kematian, kita perlu mempertimbangkan langkah-langkah untuk mengawal penggunaan dan pendedahan mereka.”
Salah satu langkah yang dicadangkan ialah larangan sementara selama enam hari ke atas motosikal ketika musim perayaan iaitu ketika jalan raya digunakan secara maksimum. “Mengehadkan penggunaan kapcai dua hari sebelum, semasa dan dua hari selepas musim perayaan boleh membantu menangani isu ini. Ia mungkin kelihatan ekstrem dan tidak popular, tetapi nyawa lebih penting,” katanya sambil menambah bahawa penunggang boleh berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif sepanjang tempoh larangan sementara itu.
Namun begitu, statistik juga boleh menunjukkan sudut yang berbeza. Seperti dilaporkan tahun lalu, satu kajian yang dijalankan oleh Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC) mendapati bahawa walaupun jumlah kematian melibatkan motosikal adalah 12 kali ganda lebih tinggi berbanding kereta, hanya 13% kes kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal.
Kajian tersebut turut mendedahkan bahawa 67% kemalangan disebabkan oleh kereta, manakala 20% lagi melibatkan kenderaan komersil. Selain itu, faktor jalan raya juga bukanlah punca utama yang boleh dipersalahkan.
The post Langkah lebih tegas diperlukan untuk kurangkan kemalangan, kematian melibatkan motosikal – MKJR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















