Land Rover Defender 2026

Model baru dalam keluarga Defender bakal diperkenalkan tidak lama lagi apabila Land Rover merancang untuk melancarkan sebuah varian lebih kecil dikenali sebagai Defender Sport. Model ini dijangka membuat penampilan sulung pada tahun hadapan dan akan menjadi model pertama dalam sub-jenama Defender yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Menurut laporan Autocar, model baru itu sedang dibangunkan menggunakan platform kenderaan elektrik serba baru. Ia juga telah dikesan menjalani ujian jalan raya di United Kingdom sebagai sebahagian daripada proses pembangunan. Pengarah jenama Defender, Mark Cameron, memberitahu bahawa kerja pembangunan untuk model yang dirujuk sebagai “Defender Sport” kini berada pada tahap yang agak maju. Namun begitu, beliau tidak mengesahkan sama ada model tersebut benar-benar akan menggunakan nama Sport secara rasmi apabila dilancarkan kelak atau tidak.

Apabila model baru ini diperkenalkan nanti, ia akan menjadi varian paling asas dalam rangkaian Defender yang ketika ini terdiri daripada Defender 90, 110 dan 130, selain versi Hardtop yang ditawarkan untuk kegunaan komersial. Kehadiran model ini juga menandakan produk serba baru pertama sejak Defender dijadikan sebagai jenama tersendiri di bawah strategi “House of Brands” JLR, yang turut merangkumi jenama Range Rover dan Discovery.

Land Rover Defender Sport akan diperkenal – EV badan lebih kecil, platform EMA Evoque akan datang

Range Rover Evoque

Menurut Cameron, fokus semasa adalah untuk membangunkan Defender sebagai sebuah jenama gaya hidup mewah. Buat masa ini, Defender hanya mempunyai satu model utama dengan beberapa varian berbeza, namun perancangan sedang dibuat untuk tempoh tujuh hingga sepuluh tahun akan datang bagi memperluaskan portfolio jenama tersebut. Beliau menegaskan bahawa setiap model yang diperkenalkan perlu mengekalkan DNA utama Defender iaitu ketahanan luar biasa, dibina untuk tahan lama serta memiliki keupayaan meredah pelbagai keadaan.

Dari segi saiz, Defender Sport dikatakan mempunyai panjang sedikit melebihi 4.5 meter. Model ini dibangunkan menggunakan platform EMA, iaitu seni bina yang akan menjadi asas kepada beberapa model elektrik masa depan dalam kumpulan JLR, termasuk pengganti kepada Range Rover Evoque dan Range Rover Velar.

Bagi model yang lebih besar dan mewah seperti Range Rover bersaiz penuh dan Defender generasi sedia ada, ia akan terus menggunakan platform MLA, manakala Jaguar pula membangunkan platform EV tersendiri yang dikenali sebagai JEA.

Land Rover Defender Sport akan diperkenal – EV badan lebih kecil, platform EMA Evoque akan datang

Range Rover Velar

Walaubagaimanapun, penggunaan platform dengan pek bateri yang diletakkan di bahagian bawah lantai membawa beberapa kompromi dari segi keupayaan teknikal. Cameron menjelaskan bahawa saiz kenderaan serta konfigurasi platform tersebut mungkin akan mengurangkan jarak pergerakan suspensi dan artikulasi roda berbanding Defender generasi L663 yang ada sekarang. Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa Defender Sport tetap akan direka untuk menawarkan tahap keupayaan off-road yang signifikan.

Menurutnya lagi, keupayaan luar jalan yang menjadi identiti Defender sebenarnya memberikan cabaran tersendiri apabila diterapkan pada kenderaan elektrik, kerana ia boleh memberi kesan kepada jarak pemanduan. Oleh itu, tugas utama pasukan pembangunan adalah memastikan DNA Defender terus dikekalkan agar jenama itu tidak sekadar menjadi satu lagi SUV biasa di pasaran yang sudah pun dipenuhi pelbagai pilihan.

The post Land Rover Defender Sport akan diperkenal – EV badan lebih kecil, platform EMA Evoque akan datang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts