Lamborghini mengesahkan bahawa ia telah pun membatalkan produksi model EV pertamanya iaitu Lamborghini Lanzador. Perkara ini disebut sendiri oleh CEO jenama supercar Itali berkenaan, Stephan Winkelmann dalam The Sunday Times dan dipetik oleh laporan Road and Track.
Menurut Winkelmann produksi EV berkenaan dibatalkan kerana “hampir tiada” pelanggan-pelanggan dalam sasaran pasaran Lamborghini yang berminat dengan kenderaan elektrik, dan mereka lebih berminat dengan bunyi dan tindak balas dari enjin pembakaran dalaman.
“EV, di dalam bentuknya kini, sukar untuk memberikan hubungan beremosi ini,” kata Winkelmann dan menegaskan bahawa Lamborghini akan terus membina enjin pembakaran dalaman “selama yang boleh”.
Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya Lamborghini melabur dengan jumlah besar dalam pembangunan EV ketika pasaran dan asas pelanggan belum bersedia akan menjadi satu “hobi yang mahal”, dan ia tidak bertanggung jawab dari segi kewangan terhadap pemegang saham, pelanggan, serta pekerja-pekerja dan keluarga mereka.
Jadi untuk menggantikan Lanzador, Winkelmann mengesahkan Lamborghini akan menghasilkan satu lagi model plug-in hybrid (PHEV) dalam barisan model dengan teknologi elektrikfikasinya menjelang 2030. Namun ini bukan bermaksud Lamborghini tidak berminat untuk menghasilkan model EV, tetapi ia akan dengan model sedemikian sekiranya ada permintaan yang cukup dalam pasaran.
“Kami tak cakap tak akan buat, tapi hanya apabila tiba tepat pada waktunya. Untuk masa hadapan yang boleh dijangka, [hanya akan ada] PHEV. Kami akan terus membangunkan elektrifikasi kerana kami juga perlu bersedia,” katanya.
Model konsep Lamborghini Lanzador ini telah didedahkan pada 2023 dan dijadualkan untuk diproduksi menjelang 2028. Ia menampilkan bentuk badan sebuah coupe tetapi diberikan suspensi dengan jarak kelegaan tanah yang tinggi seperti sebuah SUV, namun masih lebih rendah berbanding Urus.
EV berkenaan diberikan dua motor elektrik untuk memacu keempat-empat roda menghasilkan kuasa keseluruhan 1,360 PS, dan dilengkapi dengan komponen-komponen casis aktif bagi memberikan pengendalian yang lincah, termasuk suspensi udara dan juga stereng untuk gandar belakang.
The post Lamborghini batalkan produksi EV pertamanya iaitu Lanzador kerana hampir tiada pelanggan yang minat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















