Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan bahawa cadangan kutipan caj kenderaan untuk akses ke Genting Highlands adalah langkah yang tidak dapat dielakkan kerana jalan berkenaan merupakan laluan persendirian yang diselenggara sepenuhnya oleh kumpulan Genting Malaysia Berhad, di mana syarikat itu memerlukan sumber kewangan tambahan bagi membiayai kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Seperti yang diketahui, ia adalah jalan persendirian. Semua kerja penyelenggaraan telah dilakukan oleh Kumpulan Genting Berhad. Untuk kelestarian, saya fikir tiada pilihan lain selain melaksanakannya.

“Buat masa ini pembangunan semakin banyak di kiri dan kanan, tetapi itu bukan milik Kumpulan Genting. Pemaju hanya datang dan pergi. Bukan bermakna mereka tidak mahu berkongsi tanggungjawab, tetapi sekarang kami bersetuju bahawa konsep ‘pengguna bayar’ adalah lebih wajar.

“Saya telah melawat semua tapak Genting dan perkara paling penting ialah caj mesti adil. Pastikan ia tidak menjadikan laluan ini seperti entiti awam sepenuhnya. Saya beritahu mereka perkara paling penting ialah kos yang terlibat. Berapa banyak kosnya? Jika dinaikkan, berapa kadar yang akan dikenakan? Semua ini kerana mereka perlu menyelenggara jalan tersebut,” katanya dalam laporan Astro Awani semalam.

Tiong berharap orang ramai memahami rasional di sebalik cadangan tol itu kerana jumlah kenderaan, termasuk lori berat, yang menggunakan laluan berkenaan semakin meningkat. Beliau turut memuji kecekapan pihak Genting Malaysia Berhad dalam memastikan akses jalan sentiasa terpelihara.

Dalam pengumuman yang dibuat minggu lalu Genting Malaysia menyatakan bahawa langkah untuk mengenakan caj ini adalah perlu kerana jalan mendaki bukit sepanjang 24 km berkenaan merupakan jalan persendirian dan kos bagi menyelenggaranya kini semakin tinggi, dan kos untuk menyelenggara jalan tersebut telah dibiayai sendiri oleh syarikat itu sejak 1960’an.

Syarikat itu juga menyatakan bahawa penggunaan yang sangat kerap telah menyebabkan Jalan Genting Highland mengalami “kehausan dan kelusuhan yang sangat teruk”, dan memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

The post Kutipan caj kenderaan untuk ke Genting Highlands tidak dapat dielakkan – Menteri Pelancongan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts