Setelah sekian lama tiada model baru, jenama KTNS kembali muncul dalam pasaran Malaysia dengan pelancaran model TT Classic 150 oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd pada harga RM6,888 tidak termasuk insurans. Tiga pilihan warna disediakan, iaitu Dark Gold, Matt Black dan Matt Grey, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Motosikal ini dipacu oleh enjin satu silinder empat strok, suntikan bahan api, penyejukan udara 150 cc, bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 10.6 hp pada 7,500 rpm dan tork 11.5 Nm pada 5,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 11 liter.
Membawa gaya scrambler, TT Classic 150 dipasang dengan rim spoked bersaiz 18 inci dengan tayar 110/90 di hadapan dan 17 inci dengan tayar 120/0 di belakang. Ia masing-masing dipegang oleh fork teleskopik serta monoshock dengan pelarasan pra beban.
Untuk brek, kedua-dua roda dilengkapi dengan unit cakera tunggal (tiada ABS) manakala di bahagian kokpit motosikal ini dilengkapi dengan meter digital LCD untuk paparan informasi termasuk kedudukan gear dan tahap bahan api.
Secara keseluruhan TT Classic 150 mencatat berat kering 130 kg dengan tinggi tempat duduk 840 mm, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah semua lampu jenis LED, pemula enjin elektrik serta pelindung enjin.
The post KTNS TT Classic 150 dilancarkan di Malaysia – RM6.9k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































