Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan pengenalan Perkhidmatan Tren Khas Excursion RTSM edisi Tahun Baharu Cina (CNY) yang menghubungkan Stesen KL Sentral dan Padang Besar. Ia adalah sebagai langkah proaktif KTMB bagi memenuhi permintaan perjalanan penumpang yang meningkat ke destinasi utara negara sepanjang musim perayaan.
Selain itu, ia juga merupakan antara inisiatif KTMB dengan sokongan Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam menyediakan alternatif mobiliti yang cekap dan selamat sempena musim perayaan, di samping menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memperkenalkan pengalaman perjalanan rel yang unik kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Perkhidmatan tren khas ini akan beroperasi selama empat hari iaitu pada 13, 14, 16 dan 17 Februari 2026 dan sebanyak 336 tiket ditawarkan bagi setiap perjalanan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,344 tiket tersedia kepada orang ramai. Jualan tiket dibuka mulai hari ini, 12 Januari menerusi saluran rasmi KTMB.

Menurut KTMB, perkhidmatan ini menawarkan koc tempat tidur Superior dengan 120 katil bagi setiap perjalanan, selain koc tempat duduk Kelas Premier dan Kelas Superior, bagi memberikan pilihan perjalanan yang lebih selesa dan fleksibel kepada penumpang.
Tambang sehala ditawarkan bermula serendah RM70 bagi Kelas Superior dan RM90 bagi tempat tidur Kelas Superior. Bagi melengkapkan pengalaman perjalanan, penumpang turut berpeluang menikmati kemudahan koc kafe serta koc Chillax, yang disediakan khusus untuk memastikan perjalanan lebih santai, selesa dan menyeronokkan.
Jadual Tren Khas adalah seperti berikut:

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, “Musim perayaan dan cuti panjang lazimnya menyaksikan peningkatan kesesakan lalu lintas di lebuhraya utama. Melalui pengenalan tren khas ini, KTMB berharap dapat membantu mengurangkan beban kesesakan jalan raya serta menawarkan pilihan perjalanan yang lebih selesa, khususnya kepada warga emas dan keluarga yang membawa kanak-kanak.”
Katanya lagi, tren khas ini akan membuat perjalanan bermula dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 11 buah stesen iaitu Stesen Sungai Buloh, Stesen Tanjung Malim, Stesen Kampar, Stesen Batu Gajah, Stesen Ipoh, Stesen Kuala Kangsar, Stesen Taiping, Stesen Sungai Petani, Stesen Alor Setar, Stesen Arau serta destinasi akhir tren ini ialah Stesen Padang Besar.
Para pengguna boleh mendapatkan tiket secara tanpa tunai melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, kaunter tiket dan laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my.
The post KTMB perkenal tren khas Excursion RSTM edisi CNY 2026 laluan KL Sentral-Padang Besar – 13-17 Feb appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















