Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah mengumumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan pertambahan perkhidmatan tren bagi sektor Selatan dan Pantai Timur bermula 1 Januari 2026. Ia melibatkan empat perkhidmatan ETS laluan selatan tambahan (antara KL Sentral dan JB Sentral), menjadikan jumlah keseluruhan lapan perkhidmatan sehari.
Selain itu, dua perkhidmatan ETS sedia ada yang melalui laluan Padang Besar–Segamat akan bermula dan berakhir di JB Sentral. KTM juga akan menambah dua lagi perkhidmatan ulang-alik Pantai Timur (antara Gemas dan Kuala Lipis), sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan enam perkhidmatan sehari. Jadual perjalanan adalah seperti di bawah.



Ketua Pegawai Teknikal KTMB (turut bertugas sebagai CEO Kumpulan), Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, “Dengan lengkapnya jajaran perkhidmatan tren elektrik dari Padang Besar hingga Johor Bahru, kita bukan sahaja memperkukuh rangkaian rel nasional, malah membuka lembaran baharu kepada masa depan pengangkutan rel yang lebih mapan, moden dan mesra rakyat.
“Pencapaian ini turut memperluas pilihan mobiliti awam yang lebih selesa, cekap dan selamat, sekali gus memberi alternatif yang lebih berkualiti kepada rakyat Malaysia untuk perjalanan jarak jauh dan antara bandar, seiring aspirasi Kerajaan dalam memperkasa pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian”.
Jualan tiket bagi perkhidmatan berkaitan sudah mula dibuka hari ini bagi tempoh perjalanan antara enam bulan sehingga Mei 2026 bagi memenuhi keperluan pengguna untuk bercuti khususnya ketika cuti umum dan musim perayaan seperti Thaipusam, Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan.
The post KTMB bakal tambah perkhidmatan tren ETS sektor Selatan dan Shuttle Timuran mulai 1 Januari 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















