Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bahawa jadual waktu baharu akan digunakan bagi laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang – Tanjung Malim dan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang bermula 1 Januari 2026. Ia adalah selaras dengan kemajuan kerja Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa II (KVDT2) yang sedang giat dijalankan.

“Penyelarasan jadual ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan perkhidmatan KTMB apabila kerja-kerja naik taraf landasan di bawah projek KVDT mula memberikan keupayaan operasi yang lebih stabil. Perubahan ini dijangka meningkatkan kelancaran perjalanan tren, mengoptimumkan pergerakan di sepanjang laluan terlibat, serta menyokong penyediaan perkhidmatan yang lebih konsisten kepada pengguna.

“Dengan pelaksanaan jadual waktu baharu ini, perkhidmatan bas ulang-alik bagi laluan Subang Jaya – Pelabuhan Klang serta di stesen-stesen perantaraan yang terlibat tidak lagi disediakan. Perkhidmatan tren akan beroperasi di kedua-dua arah bagi laluan Pelabuhan Klang, termasuk stesen-stesen perantaraannya, pada waktu pagi dan petang mengikut jadual baharu yang telah ditetapkan,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

KTM Komuter laksana jadual waktu baharu mulai 1 Jan ini – laluan P. Klang-Tg Malim, Pulau Sebang-Bt Caves

Sehubungan itu, KTMB berkata, bagi memenuhi keperluan perjalanan pengguna khususnya pada waktu puncak pagi dan petang, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan tren dengan kekerapan setiap 30 minit bagi laluan Pelabuhan Klang – Kuala Lumpur, dan juga bagi laluan Tanjung Malim – Kuala Lumpur.

“Ia adalah bagi memastikan keselesaan pengguna harian yang bergantung pada perkhidmatan ini untuk perjalanan pergi dan pulang bekerja. Sebanyak dua perkhidmatan tren dari Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan satu perkhidmatan ke Shah Alam akan diperkenalkan pada waktu pagi bagi memenuhi keperluan perjalanan pengguna dari Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan stesen perantaraannya, termasuk perjalanan melalui KL Sentral,” katanya sambil menambah jadual waktu baharu boleh disemak melalui aplikasi KITS STYLE atau di laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my.

Dalam pada masa yang sama, KTMB turut memaklumkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan penutupan landasan (line block) akan terus dilaksanakan antara jam 11 pagi hingga 3 petang setiap hari.

“Sepanjang tempoh tersebut, tiada perkhidmatan tren penumpang bagi laluan Pelabuhan Klang – KL Sentral – Pelabuhan Klang bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dijalankan dengan selamat.

KTM Komuter laksana jadual waktu baharu mulai 1 Jan ini – laluan P. Klang-Tg Malim, Pulau Sebang-Bt Caves

“Perubahan jadual ini turut melibatkan laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang, demi memastikan penyelarasan rangkaian tren komuter yang lebih efisien serta meminimumkan masa menunggu antara laluan. KTMB juga mengekalkan kekerapan 30 minit pada waktu puncak pagi dan petang di laluan ini,” kata KTMB.

KTMB turut berkata, projek KVDT adalah bagi memastikan perkhidmatan tren yang lebih lancar dan selamat, seiring dengan penambahbaikan infrastruktur rel yang sedang dilaksanakan. Di mana dalam tempoh peralihan tersebut, operasi tren di sektor Pelabuhan Klang masih menggunakan satu landasan di antara Stesen Abdullah Hukum dan Stesen Pelabuhan Klang.

“KTMB akan terus memantau serta menyelaras operasi dari semasa ke semasa sementara kerja-kerja naik taraf menyeluruh di bawah projek KVDT2 diteruskan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029,” katanya.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, orang ramai boleh layari saluran media sosial rasmi KTMB atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

The post KTM Komuter laksana jadual waktu baharu mulai 1 Jan ini – laluan P. Klang-Tg Malim, Pulau Sebang-Bt Caves appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts