Susulan foto tular yang disiarkan menerusi Facebook ‘SGRV Front Man’, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah memulakan siasatan terhadap sebuah kenderaan mewah dengan nombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri, Johor Baharu.
Menurut Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti lokasi stesen minyak yang terbabit serta sama ada berlaku pelanggaran terhadap peraturan sedia ada, laporan Berita Harian.
Jelas Lilis Saslinda, larangan penjualan RON95 kepada kenderaan asing masih berkuat kuasa dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Sekiranya siasatan mendapati berlaku kesalahan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak terbabit, termasuk pengusaha stesen minyak jika didapati cuai atau bersubahat,” katanya yang turut mengingatkan semua pengusaha stesen minyak supaya sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan ditetapkan kerajaan berhubung penjualan bahan api bersubsidi.
KPDN Johor turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam yang menyaksikan pelanggaran berkaitan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing, bagi membantu siasatan lanjut
Menerusi foto yang tular itu, pemilik MINI Cooper itu didakwa mengisi RON95 ke kenderaannya dahulu sebelum dilihat mengisi petrol sama ke dalam botol plastik besar. Kebanyakan netizen yang memberikan respons terhadap posting berkenaan mengecam tindakan pemandu kenderaan terbabit, berkereta mewah tetapi masih mencari bahan api murah negara jiran, kata mereka. Malah ada juga warga Singapura yang berkata, tindakan pemandu kenderaan itu umpama mencemarkan nama baik republik berkenaan.
The post KPDN siasat kereta Singapura selamba ‘tapau’ petrol RON95 di stesen minyak di Iskandar Puteri, JB appeared first on Paul Tan’s Automotive News.