Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan pemeriksaan ketepatan sukatan pam dispenser minyak petrol RON95 di seluruh negara susulan aduan pengguna yang mendakwa kuantiti petrol yang diterima adalah kurang daripada jumlah sepatutnya selepas pelaksanaan program Budi Madani RON95.

Menurut Datuk Azman Adam, Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, pemeriksan tersebut telah dilaksanakan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa KPDN di peringkat negeri dan daerah mulai dari 3 hingga 9 November lalu.

“Antara tujuan pemeriksaan ini dilaksanakan adalah untuk memastikan semua pam dispenser telah menjalani proses penentusahan (verification) dan tempohnya masih sah, memastikan ketepatan fungsi pam dispenser berada dalam ralat maksimum yang dibenarkan dan mengesan sebarang unsur manipulasi atau ketidakpatuhan teknikal oleh pengusaha stesen minyak.

“Sepanjang tempoh berkenaan, KPDN telah menjalankan pemeriksaan secara rawak ke atas 2,282 pam dispenser minyak RON95 di 584 buah stesen minyak pelbagai jenama yang melibatkan Stesen Minyak Utama (full-fledged), Stesen Minyak Mini dan Stesen Minyak Mini Tanpa Jenama (unbranded mini station). Sepanjang operasi ini dilaksanakan, tiada kesalahan yang melibatkan kuantiti (isipadu) minyak RON95 yang berada di bawah ralat maksimum yang dibenarkan dikesan,” kata Azman menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

KPDN sahkan tiada kes kekurangan isipadu petrol RON95 – 548 stesen minyak telah diperiksa

Tambahnya, KPDN komited dalam memastikan ketepatan sukatan petrol RON95 sentiasa terjamin dan tidak mengakibatkan kerugian kepada pengguna.

“Pemeriksaan secara berkala akan diteruskan dari masa ke semasa dan tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat elemen manipulasi atau ketidakpatuhan di bawah peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

“Mana-mana orang yang didapati bersalah dalam mengurangkan kuantiti kepada peniaga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972 dan boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi empat puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan timbang atau sukat atau alat timbang atau sukat itu boleh dilucut hak,” tegasnya.

Beliau turut berkata KPDN memberi jaminan bahawa aspek perlindungan pengguna dan keadilan dalam urus niaga sentiasa menjadi keutamaan.

Pengguna yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan boleh menyalurkan maklumat melalui WhatsApp (019-279 4317 / 019-848 8000), Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my), Call Centre 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.

The post KPDN sahkan tiada kes kekurangan isipadu petrol RON95 – 548 stesen minyak telah diperiksa appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts