Penguatkuasaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) di seluruh negara akan diperketatkan bagi memastikan ia tidak diseleweng mana-mana pihak, kata Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, laporan Bernama.

Azman menjelaskan bahawa pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan (Intelligence-Led Enforcement) itu bertujuan memastikan tiada ketirisan berlaku dalam pelaksanaan Budi95.

Susulan konflik di Asia Barat, Azman berkata, ia perlu diberi perhatian serius kerana isu itu menyebabkan lonjakan harga minyak global, sekali gus dipercayai menarik minat pihak luar untuk mendapat bekalan petrol murah di Malaysia berbanding negara lain.

KPDN ketatkan penguatkuasaan subsidi RON95 untuk elak penyelewengan, kukuhkan kawalan di sempadan
KPDN ketatkan penguatkuasaan subsidi RON95 untuk elak penyelewengan, kukuhkan kawalan di sempadan

“Kami akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan berasaskan kepada risikan dan kami akan terus juga memperkukuh kawalan di pintu-pintu sempadan,”katanya sambil menambah pihaknya juga memperkukuh kawalan dan pemantauan di stesen-stesen minyak di seluruh negara supaya tidak berlaku ketirisan melalui apa-apa jua modus operandi baharu.

Katanya, KPDN mempunyai 2,400 pegawai penguatkuasa yang sedia digerakkan untuk melaksanakan penguatkuasaan dan keupayaan mereka akan sentiasa dipertingkatkan antaranya melalui teknologi untuk memastikan kejayaan setiap operasi. Malah KPDN juga menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi keselamatan lain bagi membanteras penyelewengan subsidi.

“Kami akan terus memperkukuh kawalan dan juga pemantauan supaya subsidi yang diperuntukkan kepada rakyat kita ini benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat tanpa sebarang ketirisan dan juga penyelewengan.

KPDN ketatkan penguatkuasaan subsidi RON95 untuk elak penyelewengan, kukuhkan kawalan di sempadan

“Kerjasama ini (antara agensi penguatkuasa lain) melibatkan perkongsian maklumat risikan, operasi bersepadu dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya yang turut memberikan amaran tegas bahawa KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan petrol bersubsidi.

“Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil termasuk siasatan, rampasan dan pendakwaan di mahkamah. KPDN menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan supaya tindakan segera dapat diambil bagi melindungi kepentingan negara dan memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa harga RON95 bersubsidi akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walau pun harga pasaran minyak dunia ketika ini naik ketara susulan ketegangan di Asia Barat.

Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan minyak, Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta KPDN telah ditugaskan untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan.

The post KPDN ketatkan penguatkuasaan subsidi RON95 untuk elak penyelewengan, kukuhkan kawalan di sempadan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts