Jurang perbezaan harga bahan api bersubsidi di Malaysia dengan harga di pasaran lain menjadi antara punca aktiviti penyelewengan bahan api tetap berleluasa kerana ia dianggap sebagai menguntungkan para penyeludup. Walau pun ada risiko ‘kantoi’ namun ada yang menganggapnya ‘berbaloi’ kerana pulangan yang tinggi membutakan mata untuk sindiket sebegini terus menjalankan aktiviti haram tersebut.

Terkini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng 800 liter diesel di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Pasir Gudang, Johor.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, bahan api itu ditemukan selepas Unit Ronda Penguat Kuasa (URP) menahan dan memeriksa sebuah lori mencurigakan sekitar jam 2 petang kelmarin. Pemeriksaan mendapati lori itu diubah suai dengan pemasangan dua pam disambung terus dari tangki asal kenderaan ke tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) di ruang simpanan dan dipercayai mengandungi kira-kira 800 liter diesel.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, beliau turut berkata pemandu lori terbabit gagal mengemukakan dokumen sah termasuk permit khas menyimpan atau tujuan pembelian minyak diesel. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,716 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ops Tiris 3.0 yang dilaksanakan oleh KPDN antara 1 Januari 2024 hingga 27 Mac 2026 sebagai tindakan membanteras penyeludupan petrol dan diesel, menyaksikan lebih RM32 juta nilai petrol dan diesel dirampas, serta 667 individu ditahan. Malah KPDN semakin agresif melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk menangani aktiviti haram ini termasuk memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berisiko tinggi bagi membolehkan pemantauan dilakukan secara lebih berkesan memandangkan rakaman akan disalurkan terus ke pusat kawalan penguatkuasaan KPDN dan pejabat negeri.

The post KPDN gagalkan cubaan seleweng 800L diesel di Johor appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts