Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah memulakan ujian bagi perlaksanaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) baharu bermula hari ini, 1 Spetember 2025. Sistem ini disasarkan untuk melancarkan aliran trafik dan juga akses ke terminal di lapangan terbang tersebut.
Menurut Malaysia Airport Holdings (MAHB), sistem ini akan diuji di Terminal 1 di Aras 5 (pelepasan menghantar penumpang) dan Aras 3 (ketibaan mengambil penumpang), akan bermula pada 1 Sept hingga 31 Nov, 2025. VAMS turut akan akan diuji di Terminal 2 bermula 15 September hingga 30 November.
Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan bahawa sistem yang memperkenalkan tempoh masuk dan keluar melalui pintu penghalang ini direka untuk mengurangkan kesesakan berpunca daripada perhentian tidak dibenarkan atau berpanjangan di kawasan tepi jalan.
Dengan menggunakan sistem ini, pengguna yang mahu masuk ke laluan menurunkan dan mengambil penumpang perlu menggunakan kad Touch ‘n Go (dengan kredit minima RM30) atau kad kredit, dan kenderaan-kenderaan tersebut akan diberikan tempoh selama 10 minit untuk penghantaran dan pengambilan semasa masuk, dengan bayaran penalti akan dikenakan sekiranya melebihi tempoh berkenaan.
Semasa fasa percubaan, MAHB berkata bahawa tiada bayaran penalti akan dikenakan, kerana ketika itu ia akan memberikan tumpuan terhadap pemerhatian corak trafik dan tingkah laku pemandu. Pemerhatian tersebut akan membantu menentukan tempoh tangguh yang optimum dan struktur yuran penalti untuk pelaksanaan penuh kelak.
Walaupun sistem ini dijangka akan menambah baik aliran trafik di kawasan tersebut, namun ia mungkin akan menyebabkan kesesakan di bahagian lain yang berdekatan pula, terutama pada untuk mereka yang datang untuk mengambil penumpang. Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, pemandu kenderaan seharusnya merancang waktu dengan penumpang terlebih dahulu untuk menunggu di laluan yang ditetapkan pada masa yang telah dijanjikan bagi mengelakkan sebarang kesesakan berlaku.
The post KLIA mula uji sistem pengurusan akses kenderaan -lorong masa terhad untuk ambil/hantar penumpang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.