Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Oktober ini bagi menambahbaik infrastruktur jalan di seluruh negara terutamanya lebuhraya utama dan jalan persekutuan, laporan Bernama.
“… itu bukan pertimbangan lagi, boleh dikatakan teras utama yang kami mohon untuk pertambahan peruntukan (dalam Belanjawan) sejak tahun-tahun sudah, sebab memang kita dah buat kajian dan kita memerlukan lebih besar daripada yang kita selalu dapat.
“Memang kami mengharapkan peruntukan untuk baik pulih, memperbaiki jalan yang sudah rosak dan usang… bukan hanya jalan persekutuan, tetapi juga jalan di seluruh negara perlu diberi perhatian serius,” kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi selaku Menteri KKR.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Belanjawan 2026 KKR bersama 200 Penggiat Industri Pembinaan di Kompleks Kerja Raya semalam.
Turut mengulas perancangan kementerian itu dalam menambah baik lebuhraya dan jalan-jalan rosak di seluruh negara termasuk Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan juga, laluan berkenaan yang menghubungkan Gerik dengan Jeli paling memerlukan peruntukan yang lebih untuk memastikan jalan berkenaan sentiasa dalam keadaan baik. Ini bermakna setiap tahun KKR memerlukan peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diberikan tidak mencukupi.
“Setiap tahun di dalam Belanjawan perkara ini memang sentiasa ditegaskan kerana KKR memang berharap peruntukan baiki dan selenggara jalan persekutuan seluruh negara diberi perhatian serius. Ini termasuk memberi peruntukan lebih supaya dapat tingkat usaha pulih keadaan jalan rosak,” katanya.
Selain itu, beliau juga menjelaskan pihaknya turut menerima pelbagai pandangan, teguran dan cabaran. Ia termasuk cabaran kos pembinaan yang semakin meningkat dan akan kemukakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.
“KKR komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur negara terus diperkasakan selaras aspirasi kerajaan dan keperluan rakyat. Input daripada pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan Belanjawan 2026 dapat menangani cabaran dan memacu pertumbuhan sektor pembinaan ke arah lebih lestari dan berdaya saing,” katanya yang dijangka bertemu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 22 Ogos ini.
The post KKR mohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 bagi baikpulih, selenggara jalan di seluruh negara appeared first on Paul Tan’s Automotive News.