Walau pun harga minyak dilaporkan semakin meningkat di pasaran global, namun kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada paras RM1.99 seliter supaya ia tidak membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut laporan Bernama.
“Harga minyak hari ini, harga minyak mentah Brent satu barel (tong) sudah naik 100 dolar Amerika. Kita masih bertahan dengan RM1.99 seliter untuk Budi95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pagi tadi.
Pada 6 Mac lalu, beliau dilaporkan berkata negara masih boleh mengekalkan harga petrol bersubsidi Budi95 tersebut antara satu atau dua bulan.
Menurut beliau, kesan konflik yang berterusan di Timur Tengah terhadap ekonomi dan geopolitik serantau masih terkawal. Namun, kira-kira 200 kapal yang kini terkandas di Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada perdagangan dan ekonomi, kerana dianggarkan 20% bekalan minyak global melalui laluan tersebut.
The post K’jaan berusaha sedaya mungkin kekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter agar tidak bebankan rakyat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















