Sudah dua tahun sejak Toyota Yaris Cross untuk pasaran ASEAN didedahkan, namun perkembangan terbaru menunjukkan pelancarannya di Malaysia kini semakin hampir. Malahan sebelum model Perodua yang mempunyai kaitan dengannya, iaitu D66B (mungkin juga dinamakan sebagai Nexis atau Traz) muncul dalam teaser semalam, pengedar rasmi aksesori Modellista untuk Toyota telah memaklumkan bahawa tempahan bagi kit badan untuk SUV segmen-B itu sudah dibuka.
Perkembangan ini sebenarnya lebih besar daripada sekadar pelancaran kit badan. Pengedar tersebut ialah Wing Hin Motorsports, sebahagian daripada kumpulan Wing Hin yang juga antara pengedar Toyota terbesar di negara ini. Jika ada pihak yang mempunyai maklumat awal tentang model baru Toyota yang akan dilancarkan UMW Toyota Motor, syarikat ini pasti adalah salah satu daripadanya. Jelas sekali, pengumuman ini bukan satu kebetulan.
Pelancaran Yaris Cross yang semakin hampir juga berkait rapat dengan kehadiran Perodua D66B. Kedua-dua model berkongsi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan dijangka diproduksi di kilang Perodua di Sungai Choh, Rawang – sama seperti perkongsian produksi antara Perodua Alza dan Toyota Veloz sebelum ini.
Ketika ini, Perodua baru sahaja menyelesaikan pembangunan EV pertamanya, QV-E, yang dibangunkan sepenuhnya dari awal. Dengan projek besar itu kini selesai, fokus syarikat boleh beralih kepada model penting seterusnya yang bakal berada di atas Ativa sebagai penawaran paling tinggi dalam barisan produknya. Dengan D66B dijangka diperkenalkan tidak lama lagi, Yaris Cross juga berkemungkinan besar dilancarkan seiring sebagai pilihan yang lebih premium.
Petanda awal kehadiran Yaris Cross sebenarnya sudah dapat dilihat sejak Ogos lalu apabila ASEAN NCAP mengumumkan keputusan ujian pelanggaran model itu – yang menerima penarafan lima bintang. Dalam laporannya, agensi tersebut menyatakan bahawa model berkenaan sedang dibina untuk pasaran Malaysia, sesuatu yang pada masa itu belum benar, tetapi kini semakin jelas kesahihannya.
Model ini tidak harus dikelirukan dengan Yaris Cross versi global yang lebih kecil dan lebih canggih berdasarkan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Versi Asia Tenggara ini berukuran 4,310 mm panjang, 1,770 mm lebar dan 1,615 mm tinggi, menjadikannya 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar dan 20 mm lebih rendah berbanding Perodua Ativa. Jarak rodanya 2,620 mm, iaitu 95 mm lebih panjang, memberikan ruang kaki belakang yang lebih luas.
Kuasa dijana oleh enjin 1.5 liter 2NR-VE tanpa turbo yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm – enjin yang sama seperti pada Alza, dipadankan dengan transmisi CVT. Turut ditawarkan ialah varian hibrid yang menggunakan enjin kitaran Atkinson 2NR-VEX berkuasa 91 PS dan 121 Nm, dipadankan dengan dua motor elektrik dalam eCVT, dengan motor yang menghasilkan 80 PS dan 141 Nm.
Segalanya menunjukkan bahawa Toyota Yaris Cross dan Perodua Nexis/Traz semakin hampir memasuki pasaran. Persoalannya kini, adakah anda lebih cenderung memilih Perodua dengan harga dijangka lebih rendah, atau sanggup membayar lebih untuk versi Toyota? Kongsikan pendapat anda.
GALERI: Toyota Yaris Cross pasaran Indonesia
The post Kit badan Toyota Yaris Cross mula dijual di Malaysia – pelancaran D66B Perodua Nexis/Traz semakin hampir? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





























































