Jenama Kia di Malaysia kini menempuh perjalanan baru dengan rasminya pengenalan Kia Sales Malaysia (KSM), yang ditubuhkan dan diterajui sendiri oleh syarikat induknya. Ia melibatkan ambil-alih jenama daripada pengedar sebelumnya, Dinamikjaya Motors milik Bermaz, KSM telah mendedahkan barisan pimpinan utama syarikat itu, yang diterajui oleh Presiden dan CEO Hyung Ho Kim dan Pengarah Urusan, Emily Lek.
Perjalanan Kia di Malaysia bukanlah baru. Sejak hujung tahun 2000an ketika dibawah kendalian Kumpulan Naza, model-model seperti Rio, Forte dan Sorento sudah berada dalam pasaran tempatan. Namun pada pertengan tahun 2010an, keadaan menjadi lebih sukar untuk Kia, antaranya kerana persaingan daripada penawaran dari jenama Jepun.
Keadaan sukar untuk Kia ini diteruskan pula pada tahun-tahun 2020an, dengan kehadiran pelbagai jenama dan model syarikat dari China. Kini, lembaran baru ingin dituliskan melalui kendalian Kia di bawah KSM, dengan slogan mereka “Be Unstill”.

Strategi yang akan dilakukan terdiri daripada tiga teras utama — Return, Rebuid and Reposition. Fasa pertama kehadiran semula ini telah pun dimulakan, dengan strategi pemasaran untuk meraih semula keyakinan pelanggan. Fasa kedua pula akan melibatkan pengembangan rangkaian pengedar dengan matlamat untuk memperkaya pengalaman yang sangat menyenangkan untuk pelanggan.
Dan fasa terakhir untuk ini adalah untuk memposisikan semula barisan produk baru keluarannya untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia. Belum dimaklumkam model mana yang akan terlibat, tetapi ada dipamerkan dalam majlis yang sama beberapa model yang sebelum ini diedarkan oleh Dinamikjaya — seperti Carnival, Sportage dan Sorento terkini. Ada juga model EV9 yang masih dikekalkan.

Barisan pasukan utama KSM turut diperkenalkan, terdiri daripada Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Produk, Hafiz Zaim, Pengurus Besar Jualan, Victor Chan, Pengurus Besar Pemilikan, Rafhan Saiah, Pengurus Besar Pemasaran, Vince Yeoh serta Pengurus Besar Saluran, Phang Chee Wei.
Ditubuhkan pada 3 November lalu, KSM akan memulakan operasi pengedarannya pada 1 Januari 2026. Syarikat itu akan memenuhi semua tempahan yang dilakukan sehingga 30 November, dan semua pusat servis Kia akan beroperasi seperti biasa dalam fasa peralihan daripada Dinamikjaya. Bagaimanapun, tempahan akan dihentikan seketika sepanjang bulan Disember ini.
The post Kia Malaysia dilancar secara rasmi — ingin terus relevan, fokus terhadap lepas jualan; umum pimpinan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























