Barisan kenderaan EV Kia untuk pasaran global telah menerima pertambahan terbaru: model EV2. Merupakan SUV dalam segmen B dan pernah ditunjukkan dalam bentuk konsep pada tahun lalu, model ini lebih kecil berbanding BYD Atto 2, tetapi hadir dengan spesifikasi yang menarik.
EV2 dibangun menggunakan binaan versi 400-volt bagi Electric Global Modular Platform (E-GMP) oleh kumpulan Hyundai — ini lebih besar daripada Hyundai Inster, dan lebih kecil berbanding EV3. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,060 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,575 mm tinggi — ini adalah 250 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar dan 100 mm lebih rendah berbanding Atto 2 — dengan jarak rodanya 55 lebih pendek dengan 2,265 mm.

Perincian lengkap masih belum didedahkan, tetapi beberapa hal telah disahkan, misalnya EV2 akan ditawarkan dengan dua saiz bateri. Unit 42.2 kWh akan memberikan jarak 317 km dalam kitaran WLTP, sementara unit 61 kWh memberikan jarak sehingga 448 km dalam satu cas penuh. Pengcasan pantas DC bagi EV2 akan membolehkan SoC dari 10%-80% dicapai dalam masa 29 minit untuk bateri lebih kecil, dan dalam 30 minit untuk bateri besar. Pengecasan AC pula boleh sehingga 22 kW, dan masing-masing memerlukan 2 jam 35 minit dan 3 jam.
Kia EV2 akan digerakkan oleh satu motor tunggal yang terletak di depan, dengan jumlah outputnya yang masih belum dinyatakan, serta dilengkapi dengan suspensi belakang jenis torsion beam yang menampilkan ciri bushing hidraulik yang berfungsi untuk mengurangkan bunyi dan gegaran ketika melalui bonggol. Selain itu, ada juga sistem stereng elektrik column-mounted dan nisbah stereng yang dioptimumkan untuk memudahkan belokan dalam bandar.

Dari segi penggayaan, EV2 mewarisi banyak rekaan yang mirip dengan barisan EV lain Kia sebelumnya. Antaranya dengan lampu utama LED dua jalur melintang dengan DRL Star Map, lengkung depan dan belakang yang ketara, tiang C menegak dan fender hitam yang bersambung ke bahagian lampu belakang bentuk L. Dalam kemasan GT-Line, ia tampil lebih agresif dengan bampar warna badan, dan rim rekaan berkotak.
Di dalam, EV2 mewarisi banyak ciri yang menarik dari model-model sebelumnya yang lebih besar, misalnya: panel paparan yang besar dengan paparan kluster instrumen dan infotainmen berkembar 12.3-inci serta skrin sentuh lima-inci untuk kawalan pendingin, serta suis fizikal untuk pendingin.
Boleh dilihat juga papan pemuka yang dibungkis fabrik lembut yang dilanjutkan ke bahagian pintu depan. Lampu ambient berkelebaran penuh juga boleh mengikut rentak dan suasana. Kia menyatakan yang rekaan EV2 telah mengambil ilham daripada bekal perkelahan. Ada juga pengecas tanpa wayar 100-watt tersedia di bahagian tengah.
Sebagai ciri standard, EV2 hadir dengan lima-tempat duduk, yang boleh dijadikan empat-tempat duduk untuk lebih ruang dan selesa bagi penumpang. Ruang but yang tersedia adalah seluas 403 liter jika kerusi diunjur ke depan sepenuhnya (362 liter dalam konfigurasi lima-tempat duduk). Ada juga ruang “frunk” di depan seluas 15 liter.

EV2 juga hadir dengan ciri Connected Car Navigation Cockpit Lite (ccNC Lite) yang baru untuk memenuhi keperluannya yang lebih mampu milik. Antara ciri yang turut melengkapinya ialah Pet Mode, Kia AI Assistant, bantuan parkir jarak jauh, cermin pandang belakang digital dan sistem bunyi Harman Kardon.
Untuk aspek keselamatan, EV2 hadir dengan ciri lengkap bantuan pemandu Kia, termasuk AEB, ACC dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta dengan penghindar perlanggaran, kamera titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dengan Auto Brake, bantuan had laju, amaran bukaan pintu dan peninjau tahap perhatian pemandu.
The post Kia EV2 ditunjuk — lebih kecil berbanding BYD Atto 2, tetapi bateri lebih besar, jarak hingga 448 km WLTP appeared first on Paul Tan’s Automotive News.







































































