Pada 15 Mac lalu, ASEAN NCAP (Program Penilaian Kenderaan bagi Negara-ngeara Asia) umumkan bahawa pihaknya telah menurunkan penarafan keselamatan bagi Proton X90 MC 2026 kepada hanya satu-bintang, berbanding penarafan lima-bintang yang diraih SUV berkenaan menerusi versi awal ketika pertama kali dilancarkan di sini pada Mei 2023.

Alasan yang diberikan adalah kerana kurangnya fungsi dari sistem bantuan pemandu (ADAS) yang ditawarkan untuk model yang dikemaskini itu. Sebelum ini, X90 ditawarkan dengan ciri seperti AEB, amaran perlanggaran depan, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, amaran lintasan trafik di belakang, peninjau titik buta dan banyak lagi.

Versi MC yang baru dilancarkan itu bagaimanapun menggugurkan semua ciri berkenaan, dengan ketiga-tiga varian yang ditawarkan langsung tidak mempunyai apa-apa fungsi ADAS. Menurut ASEAN NCAP, berdasarkan protokol 2021-2025, “penarafan bintang bagi sesebuah model akan diperketat sekiranya ia memberi prestasi teruk bagi mana-mana kategori yang dinilai, sekali gus bertujuan untuk memastikan perlindungan menyeluruh.” Penting untuk diambil maklum, penarafan lima-bintang masih sah untuk unit X90 tahun 2023-2025, sementara penarafan satu-bintang hanya terpakai untuk model 2026.

Keselamatan aktif, pasif sama penting – ASEAN NCAP

Sejak itu, topik ini menjadi perbincangan hangat di Internet, dengan ada sebahagian orang berpendapat bahawa penarafan semula itu tidak wajar, kerana pengguguran ADAS atau apa-apa ciri keselamatan aktif tidak mengurangkan kualiti sesebuah kenderaan, dalam hal ini merujuk kepada kekukuhan rekaan atau kelengkapan keselamatan pasif. Argumen kelompok ini, gugurnya ciri ADAS tidak bermakna sesebuah kenderaan itu menjadi tidak selamat sampai ke tahap penarafannya boleh diturunkan hingga kepada satu-bintang, memandangkan ia adalah model yang sama seperti unit yang diuji sebelumnya, dengan yang berubah hanya unit enjin.

Sebetulnya, tiada siapa yang mengatakan bahawa sesebuah kenderaan itu terus jadi tidak selamat tanpa sistem ADAS. Cuma, ujian untuk penilaian penarafan itu perlu mengikut parameter yang telah ditetapkan oleh protokol. Dalam kes ini, pengguguran ciri ADAS telah menyebabkan mata bagi bantuan keselamatan (SA) dalam penilaian itu jatuh ke tahap empat-bintang, dengan ciri keselamatan bagi kategori penunggang motosikal (MS) — yang banyak bergantung kepada ciri pengesan titik buta (yang juga telah digugurkan untuk X90 MC) menjadi faktor yang menyebabkan merudumnya penarafan kepada hanya satu-bintang. Pencapaian mata atau skor terendah itulah yang mencerminkan penarafan akhir.

Maksudnya di sini, sesebuah kereta boleh menjadi lebih selamat, sekiranya dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu (yang pernah disertakan untuk X90 dulu) yang boleh membantu menghindarkan kemalangan daripada berlaku. Istilah “bantu” sangat penting di sini: umumnya, kemalangan berlaku akibat kesilapan pemandu, baik tanpa sengaja atau kerana kecuaian, serta sikap pemandu ketika mengendalikan kenderaan sangat mempengaruhi aspek keselamatan di jalan raya dalam kenderaan penumpang.

Keselamatan aktif, pasif sama penting – ASEAN NCAP

Apa pun, semua perkara yang terlibat ini memainkan peranan tersendiri dalam memastikan keadaan paling selamat bagi kenderaan yang bergerak. Ciri keselamatan pasif, sama ada dari segi rekaan atau kekukuhan struktur kenderaan, beg udara atau tali keledar — semuanya sama penting kerana akan melindungi penumpang ketika berlakunya impak. Namun, adalah silap sekiranya kita mengandaikan bahawa ciri keselamatan aktif tidak penting, kerana ia bersifat menghindarkan — ciri seperti AEB atau peninjau titik buta misalnya akan sangat berguna untuk mengelak kemalangan daripada berlaku.

Kesimpulannya, ciri keselamatan pasif dan aktif adalah sama penting, dan saling melengkapi untuk memastikan keselamatan penumpang ketika berada di jalan raya berada di tahap yang jauh lebih baik — yang satu untuk mengurangkan kecederaan, dan yang satu lagi untuk berusaha menghindari kemalangan daripada berlaku sama sekali.

Apa pun keadaannya, dunia terus berjalan, dan perkembangan atau penambahbaikan tidak boleh dielakkan. Standard juga semakin berkembang. ASEAN NCAP menyatakan yang protokol penarafan yang mereka guna mencerminkan peralihan dan perkembangan itu, dan kini lebih ketat berbanding ketika awal pelaksanaan program berkenaan. Matlamatnya hanya satu: untuk melindungi semua, termasuk penunggang motosikal dan pejalan kaki — dan ini tentulah sesuatu yang lebih baik untuk semua kategori pengguna.

Keselamatan aktif, pasif sama penting – ASEAN NCAP

Dengan tersedianya kemajuan dalam ciri keselamatan kenderaan hari ini, adalah tidak bijak untuk mengorbankan aspek keselamatan yang sudah sedia ada itu dengan alasan untuk mengurangkan harga kenderaan. Apatah lagi, jika kenderaan itu memang dihasratkan untuk kegunaan keluarga — tak ada siapa yang mahu memperjudikan keselamatan dan nyawa keluarga mereka ketika di jalan raya.

Untuk pengeluar kenderaan, ia sudah menjadi tanggungjawab yang wajib dipenuhi, walaupun mungkin ada segelintir khalayak yang merasakan pengguguran ciri keselamatan seperti itu tidak memberi banyak kesan. Kita tak akan pernah tahu bila ciri keselamatan aktif — seperti AEB dan peninjau titik buta — akan menjadi penting dan sangat membantu, sehinggalah ketika kita berada dalam situasi cemas yang memerlukan tersebut. Ketika itu, tentulah semuanya telah terlambat.

Keselamatan sepatutnya sentiasa menjadi keutamaan, dan tanggungjawab kita bersama — perkara nombor satu yang tidak boleh digadai.

The post Keselamatan aktif, pasif sama penting – ASEAN NCAP appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts