AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai ANIH BERHAD) selaku pengendali Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) memaklumkan bahawa kerja-kerja tebatan banjir (Pakej 1A) akan dilaksanakan di lebuhraya berkenaan mulai esok, 1 April 2026. Ia melibatkan jajaran di KM116-KM117 (arah timur), dengan laluan lencongan turut dibuka bagi memastikan aliran trafik kekal lancar.
Menurut syarikat konsesi terbabit, kerja-kerja projek akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keselamatan pengguna lebuhraya serta kelancaran aliran trafik. Antara yang dijangka di laluan ini termasuk perubahan arah, penggabungan lorong, pengurangan had laju di kawasan tertentu, serta kemungkinan kesesakan pada waktu puncak.
Justeru, pelan pengurusan trafik yang akan dilaksanakan telah melalui penilaian teknikal yang menyeluruh termasuk audit keselamatan jalan raya serta pengesahan yang telah disemak dan diluluskan melalui Road Safety Audit (RSA). Di mana pelan terbabit juga mengambil kira aspek mitigasi risiko sebagai sebahagian daripada langkah penambahbaikan jangka panjang, khususnya di kawasan yang terdedah kepada risiko banjir, kata syarikat terbabit lagi.

Bagi pengguna LPT1 yang melalui lokasi terlibat, anda dinasihati agar mematuhi isyarat papan tanda dan semua arahan trafik yang telah disediakan supaya perjalanan lancar serta keselamatan dapat diutamakan. Dalam masa yang sama, tingkatkan fokus pemanduan, kekal peka dan memandu dengan lebih berhati-hati.
Pada Julai 2023, Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan kerja-kerja tebatan banjir untuk dilaksanakan dengan kadar segera di 14 lokasi sepanjang jajaran LPT1. Projek tebatan banjir yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM200 juta ini bertujuan bagi mengelakkan kejadian banjir berulang di lokasi terbabit.
“Sebanyak 10 lokasi banjir telah dikenalpasti iaitu di KM 84.7, KM 112, KM 113, KM 114, KM 115, KM 116, KM 117, KM 124, KM 126 dan KM 198. Manakala empat lagi lokasi berisiko dinaiki air juga telah dikenalpasti iaitu di KM 156, KM 178, KM 242 dan di Ramp A, Persimpangan Jabor,” katanya.
The post Kerja tebatan banjir di LPT1 akan dilaksanakan mulai 1 April 2026, melibatkan KM116-KM117 arah timur appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















