Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, mengesahkan kementeriannya akan mewujudkan peraturan baharu yang melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April 2026.

Ini termasuklah untuk menyekat penggunaan kad kredit asing bagi pembelian petrol RON95 di negara ini, laporan Harian Metro.

Beliau berkata, ia bertujuan bagi memastikan pemberian subsidi RON95 hanya dinikmati oleh rakyat yang layak. Berkenaan dengan menyekat penggunaan kad kredit asing, KPDN sedang mengkaji mekanisme yang bersesuaian untuk melaksanakannya.

“Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pemilik atau pemandu kenderaan berpendaftaran asing. Peraturan ini disasarkan siap dan berkuat kuasa bermula pada 1 April 2026,” katanya semasa ucapan penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu katanya, pemeriksaan di bawah Ops Samar juga akan dipertingkatkan di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti penyelewengan.

“Kementerian sememangnya memandang serius dakwaan wujud unsur ugutan atau pemerasan ke atas pengusaha stesen minyak menggunakan rakaman video.

“Tindakan sedemikian adalah kesalahan jenayah di bawah undang-undang lain dan pihak terlibat boleh membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). KPDN akan bekerjasama dengan PDRM sekiranya terdapat elemen penyalahgunaan peruntukan penguatkuasaan untuk tujuan ugutan,” katanya.

The post Kerajaan laksana peraturan baharu larang pemandu kenderaan asing beli RON95 mulai 1 Apr 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts