Kerajaan kekal komited untuk melindungi kebajikan rakyat dengan meneruskan kadar tol seperti biasa bagi tahun 2026 yang melibatkan 10 buah lebuhraya utama di seluruh negara. Ia diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkata, perkara ini dipersetujui secara retrospektif dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember lalu bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan kadar tol tersebut.
“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pengguna lebuh raya, dengan memastikan tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan sepanjang tahun 2026.
“Walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan yang besar dengan pampasan berjumlah RM591.56 juta bagi tahun 2026, kerajaan tetap memilih untuk mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya.
10 lebuhraya terbabit ialah:
- Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA)
- Lebuhraya KL–Kuala Selangor (LATAR)
- Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB)
- Lebuhraya Senai–Desaru (SDE)
- Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2)
- Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
- Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE)
- Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX)
- Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB)
- Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
Kerajaan sebelum ini berjaya mengekang kenaikan kadar tol pada tahun 2022, setelah mengambil alih empat lebuhraya milik kumpulan Gamuda bagi menjimatkan RM4.3 bilion dalam bentuk subsidi dan mengelakkan kenaikan kadar tol. Seterusnya kerajaan menetapkan kadar tol semasa bagi lebuhraya tersebut untuk tempoh sepuluh tahun akan datang.
The post Kerajaan kata tiada kenaikan kadar tol untuk 10 lebuhraya pada 2026 – MEX, DUKE, LPT2, LATAR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















