Kerajaan berjaya menjimatkan sejumlah RM800 juta sejak program Budi Madani RON 95 (Budi95) bermula pada 30 September. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjimatan itu hasil daripada langkah memastikan subsidi bahan api hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia. Di mana program tersebut berjaya membendung ketirisan yang sebelum ini turut memberi manfaat kepada lebih 3.5 juta warga asing serta kegiatan penyeludupan bahan api.

Beliau berkata setiap ringgit yang dijimatkan daripada subsidi bahan api bersasar itu disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), selain usaha menaiktaraf klinik dan hospital, menambah baik jalan raya serta memperkukuhkan lagi infrastruktur dan kemudahan demi rakyat, laporan Bernama.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, seramai 13.9 juta daripada 16.55 juta rakyat Malaysia yang layak (84%) telah membeli sebanyak 2.59 bilion liter petrol RON 95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter (berjumlah RM5.16 bilion) sejak program tersebut dilaksanakan sehingga 30 November lalu.

Kerajaan jimat RM800j sejak Budi95 dilaksana; penjimatan dapat bagi inisiatif untuk rakyat – PMX
Kerajaan jimat RM800j sejak Budi95 dilaksana; penjimatan dapat bagi inisiatif untuk rakyat – PMX

Selain itu, turut dinyatakan sebelum ini bahawa kerajaan turut dijangka menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun. Walau bagaimana pun ia tertakluk kepada harga minyak global, berdasarkan data tinjauan penggunaan domestik sebelum pelaksanaan Budi95. Penjimatan tahunan itu dijangka bukan sahaja menepati malah melebihi unjuran, berdasarkan jumlah yang dilaporkan bagi tempoh lebih dua bulan pelaksanaan program tersebut.

Di bawah program Budi95, semua pemegang MyKad Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu yang sah layak untuk membeli sehingga 300 liter petrol RON 95 bersubsidi setiap bulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran mingguan tanpa subsidi, yang kini pada paras RM2.62 seliter bagi minggu 18 hingga 24 Disember.

The post Kerajaan jimat RM800j sejak Budi95 dilaksana; penjimatan dapat bagi inisiatif untuk rakyat – PMX appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts