Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin menyatakan bahawa perlaksanaan penuh struktur cukai nilai pasaran terbuka (OMV), atau PU(A) 402/2019—Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan Keluaran Tempatan untuk Tujuan Cukai Eksais) bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tidak akan membebankan sekitar 90% rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40

“Impak kenaikan harga kenderaan berada pada tahap paling minimum. Kerajaan akan memastikan bahawa kenderaan mampu milik untuk golongan B40 dan M40 berdasarkan insentif cukai yang telah diluluskan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN- Jerantut), seperti yang dilaporkan oleh The Edge.

“Impak-impak kecil lain mungkin akan membabitkan kenderaan-kenderaan dari jenama mewah, yang akan menyaksikan sedikit peningkatan harga. Walau bagaimanapun ini tidak akan menjejaskan pembeli dari kumpulan B40 dan M40, yang lazimnya tidak membeli kenderaan mewah,” tambahnya.

OMV/402 ini akan mula dilaksanakan pada Julai tahun ini selepas ditangguh selama lima tahun dan ia menetapkan metodologi pengiraan baharu untuk mengira OMV kenderaan CKD, yang akan mempengaruhi berapa banyak cukai yang perlu dibayar, dan akan mempengaruhi harga jualannya.

Semakan semula ini bertujuan untuk memperkenalkan pengiraan tambahan kepada persamaan tersebut, memperluaskan kiraan duti eksais untuk perkara lain termasuk memasukkan kos bukan pembuatan seperti aspek penjualan kenderaan serta elemen berkaitan seperti pemasaran, perbelanjaan pentadbiran dan keuntungan.

Awal tahun ini Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyatakan bahawa semakan semula terhadap OMV/402 ini akan “memberikan impak yang sangat sedikit atau tiada impak” terhadap harga kenderaan CKD. Namun sebelum itu persatuan tersebut gusar kerana harga kenderaan-kenderaan CKD berkenaan akan naik sekitar 10% hingga 30% selepas perlaksanaan undang-undang baharu tersebut.

The post Kerajaan jamin perlaksanaan cukai OMV/402 bagi kenderaan CKD tak akan bebankan rakyat B40, M40 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts