Kemasukan pelbagai jenama kereta baru sejak kebelakangan ini sememangnya memberi manfaat kepada pengguna Malaysia dari segi pilihan yang lebih luas serta harga yang lebih kompetitif. Namun begitu, timbul keperluan untuk memastikan pasaran tempatan tidak dibanjiri dengan kenderaan import sepenuhnya (CBU) semata-mata kerana ia murah dan mudah dibawa masuk, tanpa mengambil kira kualiti atau nilai sebenar kepada pengguna dan ekonomi negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa setiap penambahan dalam rantaian automotif perlu dinilai berdasarkan sumbangannya kepada pengguna dan bukan sekadar faktor harga semata-mata. Menurut beliau, dengan populasi Malaysia sekitar 34 juta orang, pendekatan sedia ada perlu dikaji semula agar negara ini tidak menjadi destinasi lambakan kenderaan lebihan dari negara lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Proton eMas 7 PHEV semalam, sambil menegaskan bahawa Malaysia tidak seharusnya menerima semua kereta murah tanpa tapisan. Sebaliknya, hanya kenderaan yang mempunyai kualiti bersesuaian, memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dan digerakkan oleh teknologi yang baik wajar dibawa masuk ke pasaran. Beliau turut menyatakan harapan agar pendekatan ini mendapat sokongan semua pihak.

Kerajaan akan pastikan M’sia tidak dijadikan tempat lambakan kenderaan murah, kualiti rendah – Johari

Kenyataan tersebut hadir susulan penguatkuasaan peraturan baru yang menetapkan semua kenderaan elektrik (EV) CBU daripada jenama baru yang belum memasuki pasaran Malaysia perlu mempunyai harga minimum RM250,000 ke atas, selain kuasa gabungan sekurang-kurangnya 200 kW atau 272 PS, berkuat kuasa 1 Januari tahun ini. Keperluan ini merupakan peningkatan ketara berbanding had harga minimum RM100,000 yang dikenakan sebelum ini ketika pengecualian cukai masih berkuat kuasa.

Difahamkan, peraturan baru ini turut terpakai kepada semua model EV CBU baru, tanpa mengira sama ada jenama tersebut sudah berada di Malaysia atau sebaliknya. Ini bermakna hanya model EV CBU yang telah mendapat kelulusan sebelum 31 Disember 2025 sahaja dibenarkan menggunakan had harga minimum RM100,000, dengan cukai dikenakan seperti biasa.

Bagaimanapun, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan bahawa pihaknya sedang berunding dengan kementerian bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan peraturan ini. Sehingga perkara tersebut diperincikan sepenuhnya, kedudukan sebenar garis panduan ini masih belum jelas. Dalam konteks ini, pemasangan tempatan atau CKD dilihat sebagai jalan penyelesaian utama, sejajar dengan hasrat MITI untuk menggalakkan pelaburan dan pembangunan industri automotif tempatan melalui sekatan terhadap CBU.

The post Kerajaan akan pastikan M’sia tidak dijadikan tempat lambakan kenderaan murah, kualiti rendah – Johari appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts