Satu imej yang dikongsi dalam laman Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion Group oleh pembaca Saiful Hakim menampakkan sebuah kontena dengan penjenamaan Lepas, dipercayai dirakam di Pelabuhan Klang. Perkongsian itu disertakan dengan ayat ringkas, “Kereta dah ready ke tu?”, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kehadiran jenama baru tersebut di Malaysia.

Jawapannya, belum lagi, tapi makin hampir. Lepas Malaysia, yang disebut sebagai “leap-pass” dan bukannya “le-pas”, merupakan satu lagi jenama di bawah payung Chery. Sebelum ini, telah dilaporkan bahawa pelancaran rasmi jenama tersebut bersama model-model awalnya dijangka berlangsung pada separuh pertama 2026, iaitu tahun ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan bulan lalu, Lepas Malaysia memaklumkan perancangan untuk membuka sekurang-kurangnya 20 pusat jualan dan servis di negeri-negeri utama di Semenanjung serta Malaysia Timur. Sasaran jangka panjangnya adalah untuk mempunyai sehingga 30 cawangan menjelang akhir 2026. Selain itu, sebuah ‘Lifestyle Experience Centre’ turut dirancang di Lembah Klang, yang digambarkan sebagai ruang pameran lebih imersif dan eksklusif berbanding bilik pameran biasa.

Kenderaan Lepas mula tiba di Malaysia – pelancaran dijangka 1H 2026, SUV L8 dan L6 antara model terawal

Menurut Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo, jenama Lepas direka khusus untuk generasi yang yakin, kreatif dan sentiasa berhubung. Ia menyasarkan individu yang mengutamakan keseimbangan antara kerjaya, keluarga dan minat peribadi, serta mengharapkan kenderaan mereka mencerminkan citarasa dan gaya hidup sendiri.

Beliau turut menegaskan bahawa menjelang pengenalan Lepas pada 2026, fokus utama syarikat adalah untuk memastikan setiap pelanggan dapat merasai gabungan reka bentuk halus dan teknologi yang boleh dipercayai, di samping membina komitmen jangka panjang terhadap pasaran Malaysia melalui rangkaian yang semakin berkembang.

Walaupun kenyataan tersebut tidak menyebut secara khusus model yang bakal menjadi peneraju Lepas di Malaysia, jenama ini sebenarnya telah pun diperkenalkan di Indonesia. Berdasarkan pendedahan di pameran GIIAS tahun lalu, model L8 dan L6 dijangka menjadi tunjang utama kemasukan Lepas ke pasaran tempatan, dengan satu lagi model lebih kecil iaitu L4 turut ditawarkan. Ketiga-tiga model ini dibangunkan menggunakan platform NEV global Chery Group yang bersifat modular dari segi saiz dan rangkaian kuasa.

Kenderaan Lepas mula tiba di Malaysia – pelancaran dijangka 1H 2026, SUV L8 dan L6 antara model terawal

Model L8 merupakan versi tersendiri kepada Chery Tiggo 8 generasi kedua, yang masih belum diperkenalkan di Malaysia. Ia hadir sebagai kenderaan plug-in hybrid dan berkemungkinan berkongsi spesifikasi rangkaian kuasa yang sama dengan sistem Chery Super Hybrid yang digunakan pada Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV yang kini dijual di sini. Perlu diingatkan bahawa Tiggo 8 PHEV tempatan bukan daripada generasi kedua, menjadikan L8 sebuah model yang unik buat masa ini. Rangkaian kuasa yang sama turut digunakan pada Jaecoo J7 PHEV.

Di bawah L8, Lepas L6 diposisikan sebagai SUV segmen C, manakala L4 pula menjadi model permulaan untuk jenama Lepas. Dengan pendekatan reka bentuk yang lebih bergaya dan berorientasikan gaya hidup, Lepas dilihat sebagai alternatif lebih moden dan bergaya berbanding jenama Chery di arus perdana. Persoalannya, sejauh mana bahasa reka bentuk baru ini mampu menarik perhatian pembeli tempatan apabila ia tiba secara rasmi di Malaysia nanti?

The post Kenderaan Lepas mula tiba di Malaysia – pelancaran dijangka 1H 2026, SUV L8 dan L6 antara model terawal appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts