Sebuah syarikat yang berpusat di Singapura, Kelle Energy, melancarkan sistem pengecas kenderaan elektrik mudah alih pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Battery Energy Storage System atau BESS. Pengecas mudah alih berbentuk ‘powerbank’ beroda ini dilengkapi sistem simpanan tenaga berkapasiti 184 kWh dan mampu menyokong pengecasan DC sehingga 60 kW.
Ia direka untuk mengecas beberapa kenderaan elektrik secara serentak serta ditawarkan sebagai penyelesaian pantas, lebih kos efektif dan tidak bergantung kepada grid elektrik berbanding pemasangan infrastruktur pengecas kekal. Inisiatif ini turut dilihat berpotensi membantu mengurangkan kesesakan di stesen pengecasan lebuh raya.
Dalam masa yang sama, Kelle Energy turut memeterai dua memorandum persefahaman. Perjanjian pertama dibuat bersama anak syarikat Gotion High-Tech, iaitu Anhui Yijianeng Digital Technology, bagi menyokong pelaburan strategik serta pembangunan perniagaan dalam penyelesaian tenaga mudah alih dan aplikasi BESS di rantau ini.
Memorandum kedua pula melibatkan Anhui Yijianeng Digital Technology dan EV Connection, dengan fokus kepada pelaksanaan serta pengembangan perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik mudah alih di seluruh Malaysia.
Melalui kerjasama ini, semua pihak yang terlibat akan berganding bahu untuk memperkenalkan perkhidmatan pengecasan EV mudah alih yang boleh diskalakan dan berorientasikan pengguna. Penyelesaian ini disasarkan untuk memenuhi keperluan pusat bandar, fasiliti komersial, pengendali kumpulan kenderaan serta koridor permintaan EV yang sedang berkembang di Malaysia.
Rakan teknologi utama bagi pengecas EV mudah alih Kelle Energy ialah Gotion, sebuah pengeluar bateri dari China yang sebahagiannya dimiliki oleh Kumpulan Volkswagen. Sebelum ini, turut dilaporkan bahawa kerajaan negeri Johor sedang memuktamadkan perbincangan dengan Gotion bagi menubuhkan kemudahan pembuatan bateri kenderaan elektrik di negeri tersebut.
The post Kelle Energy lancar pengecas EV mudah alih BESS pertama di Malaysia – pengecasan sehingga 60 kW DC appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















