Sebanyak 13 kenderaan import pelbagai jenis bernilai kira-kira RM4.61 juta termasuk duti dan cukai telah disita oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur kerana disimpan melebihi tempoh dibenarkan di gudang berlesen sekitar Lembah Klang, laporan Bernama.
Menurut Pengarahnya, Wan Norizan Wan Daud, sitaan dibuat hasil beberapa siri serbuan dari 5 Januari hingga 6 Februari menerusi Ops Terma dengan kerjasama Bahagian Perkastaman JKDM. Di mana hasil pemeriksaan rapi mendapati kenderaan import itu disimpan melebihi tempoh penyimpanan dibenarkan iaitu 48 bulan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967.
“Nilai kenderaan yang disita dianggarkan berjumlah RM1.7 juta manakala anggaran duti dan cukai import terbabit sebanyak RM2.8 juta. Dua pengarah syarikat telah dipanggil untuk memberi keterangan dan kes masih dalam siasatan bagi mengesan syarikat atau ejen pengimport untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Kastam termasuk kesalahan menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) akta itu.
Seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 mana lebih besar dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000 mana lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
The post Kastam KL sita 13 kenderaan import bernilai RM4.61 juta kerana disimpan lebih tempoh dibenarkan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















