Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan bahawa penggunaan kad kredit dan debit asing untuk pembelian petrol RON 95 di stesen minyak seluruh negara akan mula disekat secara berperingkat bermula Rabu, 1 April 2026.
Langkah ini diperkenalkan bagi mengekang kenderaan pendaftaran asing daripada mengisi RON 95 di pam layan diri menggunakan kad antarabangsa, satu situasi yang dilaporkan kerap berlaku sebelum ini. Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada mekanisme kawalan bagi memastikan bahan api bersubsidi tersebut hanya dinikmati oleh pihak yang layak.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam, sistem baru yang akan dilaksanakan mampu menapis transaksi secara automatik selepas tarikh tersebut. Beliau menjelaskan bahawa pendekatan ini bukan sahaja membantu menghalang akses kepada pengguna tidak layak, malah turut mengurangkan beban operasi yang ditanggung oleh pengusaha stesen minyak.
Meskipun penggunaan kad asing masih dibenarkan, transaksi hanya boleh dilakukan di kaunter dan tidak lagi di pam layan diri. Bagi kenderaan dengan pendaftaran luar negara pula, mereka hanya dibenarkan menggunakan petrol RON 97.
Tambah beliau, pelaksanaan langkah ini akan memudahkan pemantauan oleh pengusaha stesen minyak serta pihak penguat kuasa, di samping memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada. Beberapa syarikat minyak dilaporkan telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan sistem ini, manakala selebihnya akan melaksanakannya secara berperingkat.
The post Kad kredit/debit luar tidak akan diterima di pam minyak bermula 1 April 2026 bagi elak ketirisan RON 95 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















