Jumlah kes kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat menunjukkan penurunan pada tahun lalu hasil pelbagai penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata mengikut data awal Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa sekitar 163 kes kemalangan maut melibatkan kenderaan berat pada tahun 2025, menurun berbanding 232 kes pada 2023 dan 260 kes pada 2024. Statistik ini merangkumi kemalangan maut yang melibatkan lori, treler dan kenderaan barangan berat, tanpa mengambil kira sama ada kenderaan tersebut merupakan punca utama atau sekadar pihak yang terlibat dalam kemalangan.
“Penurunan ini memberi gambaran awal bahawa langkah penguatkuasaan yang diperkukuh terhadap pematuhan keselamatan kenderaan berat, termasuk kawalan muatan, telah menyumbang kepada pengurangan risiko kemalangan maut di jalan raya, selaras dengan objektif Kerajaan untuk melindungi nyawa pengguna jalan raya,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Ia adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (MP Ayer Hitam) yang ingin mengetahui impak sebenar penguatkuasaan serta-merta dasar lori lebih muatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak Oktober 2025 ke atas rantaian bekalan, kos logistik dan kos sara hidup rakyat serta mengapa penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa tempoh peralihan yang munasabah.

Loke turut berkata penguatkuasaan terhadap kesalahan lori membawa muatan berlebihan yang dilaksanakan oleh JPJ adalah berasaskan peruntukan sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] serta Perintah Sekatan Berat (Weight Restriction Order, WRO) yang telah berkuat kuasa sejak sekian lama.
“Penguatkuasaan ini tidak melibatkan pengenalan dasar baharu, sebaliknya merupakan penegasan semula terhadap pematuhan had Berat Dengan Muatan (BDM) yang ditetapkan demi keselamatan jalan raya dan perlindungan infrastruktur negara.
“Dari segi impak rantaian bekalan dan kos, pemain-pemain industri seperti Malaysia Trucking Federation telah memaklumkan terdapat kesan jangka pendek tetapi mereka masih menyokong penguatkuasaan yang tegas kerana memahami pentingnya untuk melindungi nyawa rakyat Malaysia dan Kerajaan menghargai kesanggupan mereka untuk melakukan perubahan,” jelasnya lagi.
Awal bulan ini, Ketua Pengarah JPJ Dato’ Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya telah memeriksa sejumlah 1.2 juta kenderaan berat menerusi Operasi Lebih Muatan pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 240,493 kenderaan diambil tindakan, termasuk 465 kenderaan disita di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Aedy berkata, jumlah yang direkodkan pada tahun lalu juga telah meningkat sebanyak 35.5% berbanding tahun 2024 di mana sekitar 829,392 kenderaan diperiksa. Malah jumlah kenderaan yang diambil tindakan juga meningkat sebanyak 47.7% berbanding tahun 2024 (126,974 kenderaan),
The post Jumlah kemalangan maut melibatkan kenderaan berat menurun hasil penguatkuasaan – 163 kes pada 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















