Selepas mencatatkan jualan yang tinggi pada Januari dengan 19,833 unit kenderaan — pencapaian terbaiknya dalam tempoh 15 tahun — jualan kenderaan Proton bagi Februari jatuh sebanyak 31% kepada 13,566 unit. Ini disebabkan banyak cuti perayaan yang berlangsung, termasuk Tahun Baru Cina dan Thaipusam, yang melambatkan serahan, jelas Proton.

Penurunan itu lebih ketara berbanding penurunan jumlah keseluruhan industri (TIV), yang dijangka menurun sebanyak 17.6% kepada 52,996 unit. Disebabkan itu, Proton menganggarkan perkongsian pasarannya juga akan menurun dari 30.6% kepada 25.6% bagi Februari, dengan angka bagi jualan tahunan setakat ini (YTD) bagi 2026 masih meyakinkan dengan 28.5%. Bagaimanapun, berbanding Februari tahun lalu, angka jualan terbaru ini naik sebanyak 20.8% (berbanding 11,232 unit).

Pengurangan yang berlaku ini antaranya disebabkan oleh Saga. Selepas mencatatkan jualan memberangsangkan pada Januari dengan 10,285 unit, jualan untuk Februarinya kembali ke tahap biasa dengan 6,047 unit. Jualan keseluruhan YTD kini adalah sebanyak 16,332 unit, yang merupakan peningkatan sebanyak 69.8% berbanding tahun lalu. Ini membolehkan Saga untuk kekal sebagai model paling laris di Malaysia.

Jualan Proton turun 31% pada Februari 2026 kepada 13,566 unit kerana musim perayaan — Saga 6k unit

Sementara itu, sedan S70 pula mencatatkan peningkatan dengan 1,940 unit terjual sepanjang Februari (naik dari 1,604 unit pada Januari). Ini sekali gus menjadikannya model kedua terlaris Proton. Jualan tahunan setakat ini juga naik menjadi 3,544 unit, peningkatan 51.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Prestasi jualan ini dijangka akan lebih kukuh dengan pengenalan model MC 2026 pertengahan Februari lalu, dengan hadirnya enjin 1.5 litre i-GT empat-silinder dengan janaan 181 PS yang menggantikan enjin tiga-silinder sebelum ini. Tempahan untuknya juga sudah mencecah 5,000 unit.

Di belakang S70 ialah X70 yang terjual sebanyak 1,842 unit, menjadikan jumlah YTD-nya 4,271 unit, naik 31.1% berbanding tahun lalu. Jualan eMas 5 EV pula sudah melepasi angka 5,000 unit, bermakna model kedua paling laris secara keseluruhan untuk Proton masih lagi model elektrik.

The post Jualan Proton turun 31% pada Februari 2026 kepada 13,566 unit kerana musim perayaan — Saga 6k unit appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts