Tahun 2025 mencatatkan satu sejarah di mana buat pertama kali jualan bagi kereta-kereta yang digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid telah mengatasi model-model yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya di Eropah.
Menurut laporan AFP, Persatuan Pengeluar Automobil Eropah ACEA) menyatakan bahawa sepanjang 2025 Kesatuan Eropah (EU) telah mencatatkan pendaftaran sebanyak 1.88 juta unit kenderaan baharu – walaupun angka tersebut masih rendah berbanding jumlah yang dicatatkan sebelum pandemik, ia masih lagi lebih tinggi dari tahun 2024 dengan peningkatan 1.8%.
Jualan bagi model hibrid telah melonjak sebanyak 13.5%, menjadikan ia kini mewakili 34.5% dari jumlah keseluruhan jualan kereta baharu di Eropah tahun lalu, lebih tinggi dari model petrol penuh dengan 26.6%. Jualan model elektrik penuh (EV) juga melonjak sebanyak 30%, menjadikan bahagian pasarannya di Eropah kini mencecah 17.4%.
Walau bagaimanapun, ACEA masih menganggap kenaikan jualan bagi model-model EV di Eropah masih berada pada takat yang rendah memandangkan kenaikan tersebut dibuat berbanding tahun 2024 yang sememangnya sangat lembab, dan ia perlu lebih tinggi bagi selari dengan sasaran peralihan yang telah ditetapkan oleh Kesatuan Eropah.
Walau bagaimanapun jualan model dengan enjin pembakaran dalaman penuh masih lagi mendominasi pasaran Eropah dengan bahagian pasaran 35.5% setelah dikira sekali dengan jualan kereta baharu yang digerakkan oleh enjin diesel. Namun ia tetap jatuh kerana pada 2024 bahagian pasaran bagi kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman penuh berada pada 45.2%.
Pecahan mengikut jenama pula menyaksikan Volkswagen Group masih memegang takhta sebagai jenama automotif paling laris di benua berkenaan dengan jualan yang meningkat sehingga 5.5% berbanding 2024. Kumpulan Renault (juga pemilik kepada Dacia) turut mencatatkan peningkatan jualan yang hampir sama, manakala jenama di bawah Stellantis seperti Peugeot, Citroen dan Fiat pula mencatatkan penurunan jualan sehingga 4.7%.
Jenama-jenama China pula dilihat sedang mengukuhkan kedudukan mereka di Eropah di mana BYD berjaya menjual kereta dengan jumlah tiga kali ganda lebih banyak berbanding pada 2024, manakala SAIC yang memiliki jenama MG pula mencatatkan kenaikan jualan sehingga 1/3.
Namun tak semua berkaitan EV menyaksikan peningkatan di Eropah tahun lalu. Jenama EV dari Amerika Syarikat iaitu Tesla mencatatkan kejatuhan jualan hampir 38%. Ini adalah kerana masalah reputasi disebabkan pemilik jenama itu iaitu Elon Musk menjadi penyokong vokal untuk parti-parti sayap kanan di Eropab seperti parti AfD di Jerman.
The post Jualan kereta hibrid atasi petrol penuh di Eropah – EV naik 30%, kini pegang 17.4% bahagian pasaran appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















