Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan November 2025, dengan melaporkan bahawa sebanyak 72,509 unit telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Ia mewakili penurunan sebanyak 4.6% atau 3,482 unit, berbanding 75,991 unit (asalnya dilaporkan pada 75,992 unit) yang terjual pada Oktober.
Menurut persatuan terbabit, walaupun berlaku penurunan berbanding bulan yang mencatat rekod yang lebih baik, prestasi jualan pada bulan November masih kekal tinggi dan wajar dipuji, didorong oleh kesinambungan kempen promosi agresif sejak Oktober serta pembelian pantas oleh pengguna terhadap kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) sebelum pengecualian cukainya berakhir pada 31 Disember 2025.
Angka jualan bulan November juga menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5% (atau 3,760 unit) berbanding bulan yang sama pada tahun 2024, di mana sebanyak 68,749 unit kenderaan penumpang dan komersil telah terjual. Bagi angka setakat ini (YTD) pula, jumlah keseluruhan jualan pada tahun 2025 menjelang penghujung tahun adalah sebanyak 727,836 kenderaan, hanya 1.15% lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024 dengan 736,317 unit telah dihantar kepada pelanggan.
Berdasarkan angka jualan pada bulan November, jumlah volum industri (TIV) dijangka melepasi sasaran ramalan 780,000 unit bagi tahun 2025 dengan selesa, namun kini dilihat agak sukar untuk jumlah keseluruhan mengatasi rekod TIV tahun lalu iaitu sebanyak 816,747 unit.
Walaupun begitu, persatuan tersebut menyatakan bahawa mereka menjangkakan momentum jualan pada bulan Disember akan terus kukuh seperti bulan November, berikutan permintaan terhadap EV CBU yang berterusan sehingga akhir tahun.
The post Jualan kenderaan di M’sia pada Nov 2025 turun 4.6% appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















