Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk Januari 2026, yang menyaksikan sebanyak 64,298 unit telah dihantar kepada para pelanggan. Angka terkini ini menunjukkan penurunan sebanyak 29% berbanding 90,716 unit yang direkodkan pada Disember 2025.

Menurut MAA lagi, jumlah jualan yang berkurangan pada Januari 2026 berpunca daripada pembelian awal yang dibuat pada Disember 2025, yang mencatatkan jumlah jualan bulanan tertinggi dalam sejarah (rekod sebelumnya ialah 81,735 unit pada Disember 2024). Ia bukanlah fenomena yang baharu, kerana perkara sama turut berlaku apabila membandingkan angka jualan Januari dengan Disember sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun (YoY), jumlah jualan Januari 2026 meningkat mendadak sebanyak 27% berbanding Januari 2025 (50,449 unit), dengan peningkatan tersebut disumbangkan oleh banyak pelancaran model baharu pada penghujung tahun 2025.

Bagi Februari 2026, persatuan tersebut menjangkakan jualan akan kekal sederhana berikutan bulan bekerja yang lebih pendek (17 hari) akibat cuti Tahun Baharu Cina.

Dari segi pengeluaran pula, bulan lalu mencatatkan sebanyak 60,866 kenderaan dihasilkan, iaitu peningkatan 6% berbanding 57,450 unit yang direkodkan pada Januari 2025.

The post Jualan kenderaan di M’sia pada Jan 2026 turun 29% appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts