Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Ogos 2025, yang menunjukkan sejumlah 73,041 unit kenderaan diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara. Angka ini mencatatkan peningkatan sebanyak 4.2% atau tambahan 2,940 unit berbanding jumlah jualan bulan Julai iaitu 70,101 unit (yang telah dikemas kini daripada laporan asal 70,057 unit).

Menurut MAA, peningkatan ini didorong oleh beberapa faktor utama, antaranya ialah bekalan stok yang lebih tinggi hasil daripada jumlah pengeluaran bulan Julai yang mencecah 71,439 unit. Selain itu, pelancaran model baru serta promosi besar-besaran sempena bulan sambutan Hari Kebangsaan turut membantu merangsang jualan kenderaan.

Jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2024, jumlah jualan Ogos tahun ini juga mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.64%, bersamaan dengan tambahan 461 unit berbanding 72,580 unit yang dijual pada Ogos tahun lalu bagi kategori kenderaan penumpang dan komersial.

Namun begitu, jumlah jualan keseluruhan dari Januari hingga Ogos 2025 masih menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya. Setakat ini, sebanyak 516,862 unit telah dijual bagi tahun 2025, iaitu 3.85% lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024 yang mencatatkan 537,532 unit.

Melihat ke hadapan, MAA menjangkakan momentum jualan untuk bulan September 2025 mungkin akan perlahan. Ini disebabkan oleh bilangan hari bekerja yang lebih pendek akibat empat cuti umum sepanjang bulan, selain sikap tunggu dan lihat dalam kalangan pengguna menjelang pembentangan Bajet negara serta pengumuman lanjut mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON 95.

The post Jualan kenderaan di Malaysia Ogos 2025 naik 4.2% appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts