Jualan global automotif China bagi 2025 dijangka akan mengatasi jualan global yang dibuat oleh Jepun buat kali pertama, lapor Nikkei Asia. Berdasarkan pendedahan syarikat dari Januari hingga November 2025 dan data daripada S&P Global Mobility, pengeluar-pengeluar kereta dari China diunjurkan menjual kira-kira 27 juta unit kenderaan sepanjang tempoh tersebut.
Ini akan membolehkan pengeluar-pengeluar automotif dari China menjadi penjual kenderaan baharu terbesar buat pertama kali pada 2025, memintas pengeluar-pengeluar automotif Jepun yang mempertahankan gelaran itu selama 20 tahun, menurut laporan itu lagi.
Angka 27 juta unit yang dicatatkan tersebut juga adalah 17% lebih tinggi berbanding tahun 2024. Sementara itu, gabungan jualan pengeluar-pengeluar kereta Jepun dijangka kekal tidak berubah pada sekitar 25 juta kenderaan, yang bakal menyebabkan ia jatuh ke tempat kedua.
Laporan itu juga menyatakan bahawa 70% jualan yang dibuat oleh pengeluar-pengeluar kenderaan China ini dijual dalam pasaran domestik China sendiri, di mana hampir 60% jualan kereta penumpang di negara itu adalah terdiri dari model elektrik sepenuhnya (EV) dan hibrid plug-in (PHEV).
Manakala untuk pasaran eksport, China telah menjual sebanyak 2.3 juta kenderaan di Eropah, 500,000 unit di Asia Tenggara, 540,000 unit di Amerika Latin serta kira-kira 230,000 unit di Afrika. Bagi pasaran Afrika dan Amerika Latin, kedua-duanya mencatatkan jualan kenderaan dari China sekitar 30% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
The post Jualan global automotif China pada 2025 dijangka atasi Jepun buat kali pertama – diunjur 27 juta unit appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















