Urusan jual-beli secara sambung bayar memang sudah lama wujud walau pun ramai yang menyedari ia merupakan amalan yang menyalahi undang-undang. Pelbagai alasan diberikan untuk sambung bayar, antaranya urusan tukar milik yang dianggap menyulitkan atau pun pinjaman bank tidak diluluskan.
Lantas, pembeli kenderaan berkenaan dengan rela untuk sambung bayar walau pun di dalam geran pemilikan (VOC) kenderaan itu masih nama pemilik asal. Walau bagaimana pun, kegiatan sambung bayar ini biasanya berakhir dengan situasi yang tidak menyenangkan sama ada kepada “pembeli” mahupun pemilik kenderaan.
Baru-baru ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah telah menyita sebuah Toyota Camry Hybrid dalam satu Ops Luxury yang dijalankan pegawai penguat kuasa di Kilometer 1, Jalan Sungai Ular–Taman Bestari, Kulim.
Pemeriksaan mendapati kenderaan itu digunakan di bawah skim sambung bayar dan tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM atau cukai jalan) yang sah serta perlindungan insurans yang sah. Susulan itu, notis saman P22 dan notis sitaan dikeluarkan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan kenderaan tersebut dibawa ke depoh sitaan JPJ cawangan Kulim untuk tindakan lanjut, menurut hantaran JPJ negeri di laman Facebooknya.
JPJ turut memaklumkan bahawa tindakan akan diambil terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan kesalahan tersebut berlaku. Dalam kes ini, kecuaian terletak pada pihak pemilik kerana menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan cukai jalan dan insurans diperbaharui bagi kenderaan miliknya. Ini termasuk semua saman yang diperoleh oleh kenderaan berkenaan, tanpa mengira siapa yang memandunya.
Nasihat kepada mereka yang bercadang untuk memajak kenderaan atau ingin “memiliki” kenderaan mewah melalui skim sambung bayar tetap sama seperti sebelum ini – jangan lakukannya! Ia menyalahi undang-undang dan penuh dengan risiko.
The post JPJ sita Toyota Camry Hybrid sambung bayar – tiada dokumen sah, pemilik boleh dikenakan tindakan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















