Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor berjaya mengesan sebuah bas sekolah di Persiaran Kemboja, Bukit Beruntung, yang didapati melanggar beberapa undang-undang lalu lintas. Ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat 19 murid sekolah turut berada di dalam bas berkenaan.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan menerusi Ops Van Sekolah Haram itu, JPJ mendapati bahawa bas sekolah terbabit memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang telah tamat tempoh sejak Disember 2020, sekaligus tidak mempunyai perlindungan insurans. Selain itu, permit Puspakom juga didapati telah tamat tempoh, pemandu warga tempatan berusia 23 tahun yang tiada Lesen Memandu Kompetensi (CDL), tiada Lesen Vokasional untuk kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan kesalahan teknikal lain.
Pemilik bas berkenaan memberi alasan baru saja membeli kenderaan berkenaan dan tiada masa untuk melakukan pemeriksaan Puspakom dan menyediakan dokumentasi yang diperlukan. Bas sekolah berkenaan turut menerima 13 saman dan telah disita di Stesen Penguatkuasa JPJ, Kalumpang, untuk tindakan selanjutnya, kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
“JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” kata JPJ lagi.
Untuk ibu bapa yang memilih perkhidmatan bas atau van sekolah sebagai pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah, diharap memeriksa status ‘kelayakan’ kenderaan terbabit terlebih dahulu. Pastikan syarikat bas/van sekolah terbabit mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans yang masih sah, selain pemandunya memiliki lesen CDL dan PSV. Utamakan keselamatan anak-anak anda.
The post JPJ Selangor sita bas sekolah di Bukit Beruntung – LKM tamat tempoh, tiada CDL dan kesalahan lain appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















