Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor telah melaksanakan Ops Khas KPA (bas kilang) yang diadakan di sekitar Shah Alam dan Meru, Klang pada 8 Okt lalu dan hasilnya sebanyak 17 buah kilang telah disita serta sejumlah 186 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

Menurut Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, antara kesalahan tertinggi seperti tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dengan 25 saman, tiada Lesen Vokasional (27), kesalahan teknikal (25), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (20), tiada insuran (10) dan lain – lain termasuk menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu (36).

“JPJ Selangor ingin mengingatkan semua pengendali kenderaan perdagangan agar sentiasa memastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan pemandu mematuhi syarat-syarat lesen serta peraturan jalan raya. Pihak kami juga akan terus mempertingkatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya lagi.

Ops Khas KPA (bas kilang) ini adalah sebahagian daripada Ops Khas Gempur Perdagangan yang mula dilaksanakan oleh JPJ di seluruh negara sejak 1 Sept lalu hingga 31 Dis 2025. Ia dilaksanakan bagi memastikan pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan mematuhi sepenuhnya peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) beserta Kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

Pada 1 Okt lalu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dilaporkan berkata, sejak 1 Sept 2025, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 124,700 notis saman atas pelbagai kesalahan melalui Ops Khas Gempur Perdagangan di seluruh negara. Di mana sepanjang tempoh sebulan itu, 544,403 kenderaan diperiksa, yang mana 50,629 daripadanya diambil tindakan termasuk tindakan menyita 1,060 kenderaan.

The post JPJ Selangor sita 17 bas kilang, keluarkan 186 saman dalam Ops Khas KPA di sekitar Shah Alam dan Klang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts