JPJ Selangor cekup ‘ulat teksi’ yang umpan pelanggan dari luar negara dengan MPV Toyota Vellfire di KLIA

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah menahan seorang pemandu yang dipercayai bertindak sebagai ‘ulat teksi’ di Terminal 2 KLIA baru-baru ini. Selain itu, kenderaan MPV mewah, Toyota Vellfire, yang dipandu oleh individu terbabit turut disita.

“Hasil daripada intipan dan pemantauan di Terminal 2 KLIA, Stesen Penguatkuasa KLIA telah membuat satu tangkapan ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

“Sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire beserta pemandu telah ditahan dan disita untuk siasatan selanjutnya. Siasatan awal mendapati ‘ulat’ berkenaan telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada enam orang penumpang warganegara Belgium dari Terminal 2 KLIA ke The Platinum 2, Kuala Lumpur dengan kadar tambang sebanyak RM225 dan akan dibayar bila sampai ke destinasi,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Selain daripada MPV mewah itu, JPJ turut menyita sebuah Proton Exora dan Proton Saga serta kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan juga ditahan atas kesalahan yang sama.

JPJ Selangor cekup ‘ulat teksi’ yang umpan pelanggan dari luar negara dengan MPV Toyota Vellfire di KLIA
JPJ Selangor cekup ‘ulat teksi’ yang umpan pelanggan dari luar negara dengan MPV Toyota Vellfire di KLIA

JPJ berkata, siasatan awal mendapati pemandu Exora berkenaan telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada empat orang penumpang warganegara Thailand dari Terminal 1 KLIA ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur dengan kadar tambang sebanyak RM105.

Manakala pemandu Proton Saga itu pula ditahan kerana didapati menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua orang penumpang warganegara Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke Shah Alam dengan kadar tambang sebanyak RM80.

“Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama.

“Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing,” tambah JPJ lagi.

Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.

The post JPJ Selangor cekup ‘ulat teksi’ yang umpan pelanggan dari luar negara dengan MPV Toyota Vellfire di KLIA appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts