Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membangunkan satu sistem dalam talian yang dikenali sebagai ‘eBaki’ untuk penjualan nombor plat tamat tempoh, laporan Bernama. Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mengenai penyata kewangan kerajaan bagi tahun 2024, sistem ini akan dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Sistem Digital JPJ.

“Pada masa ini, pembangunan sistem tersebut berada pada peringkat Kajian Keperluan Sistem (SRS) dan dijangka mula beroperasi pada Oktober 2026,” menurut laporan tersebut yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Selain itu, laporan terbabit turut mendedahkan bahawa JPJ telah mengutip sebanyak RM1.648 bilion hasil daripada penjualan nombor plat dari tahun 2022 hingga 2024, dan jika nombor yang disekat serta tidak aktif ditawarkan pada harga minimum, dianggarkan sekurang-kurangnya RM115.96 juta lagi boleh diperoleh.

JPJ sedang bangunkan sistem eBaki untuk menjual nombor plat kenderaan yang telah tamat tempoh

Laporan tersebut turut menyebut terdapat sebanyak 375,792 nombor tamat tempoh yang tidak terjual dan 134 nombor yang disekat ditawarkan pada harga minimum setakat tahun 2024, yang boleh menjana hasil tambahan dianggarkan masing-masing sekurang-kurangnya RM112.73 juta dan RM795,150.

Tambahnya, daripada 219 permohonan untuk menuntut semula nombor pendaftaran tamat tempoh, 12 permohonan yang diluluskan hanya dikenakan caj perkhidmatan RM10, berbanding potensi hasil sebanyak RM23,100 sekiranya nombor tersebut dijual pada harga minimum (RM300 hingga RM20,000 berdasarkan kategori Semasa, Popular, Menarik dan Premium). Laporan itu turut menyatakan bahawa asas penetapan harga bagi nombor baki tidak seragam antara JPJ negeri.

Dalam masa yang sama, laporan tersebut turut mengesyorkan agar JPJ menawarkan nombor tidak aktif kepada orang awam dan menetapkan harga minimum mengikut kategori yang ditetapkan melalui MySikap untuk publisiti yang lebih meluas, serta menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) dan bidang kuasa Jawatankuasa Khas Nombor Pendaftaran bagi memastikan hasil maksimum dapat dikutip dan mengelakkan kebocoran hasil.

The post JPJ sedang bangunkan sistem eBaki untuk menjual nombor plat kenderaan yang telah tamat tempoh appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts